Semalam pemuda, wanita dan puteri Umno
sudah bersidang. Sepanjang pemerhatian saya di persidangan pemuda,
nampak sangat perwakilan pemuda tidak berdisiplin. Ketika pemuda
berehat selama 30 minit selepas ketuanya, Khairy Jamaluddin
menyampaikan ucapan dasar, pengerusi tetap, Datuk Fatah Abdullah
terpaksa menunggu lama para perwakilan masuk ke dewan sebelum
perbahasan dimulakan.
Ini yang melemahkan pemuda. Bagaimana
mahu menghadapi pilihan raya sedangkan ketetapan waktu (punctuality)
masih tidak dititikberatkan oleh para perwakilan. Yang menyedihkan
para pemerhati pemuda tidak dapat menyaksikan ucapan dasar Khairy
kerana tv litar di luar Dewan Tun Hussein Onn menyiarkan ucapan ketua
wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil. Manakala tv litar yang satu lagi
menyiarkan ucapan ketua puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin. Kenapa
pengurusan PWTC begitu lalai tidak menyiarkan tv litar untuk ucapan
Khairy? Adakah ketua pemuda itu disabotaj oleh pengurusan PWTC?
Apabila diberitahu kepada pihak
pengurusan PWTC, barulah tv litar menyiarkan ucapan Khairy yang
tinggal lima minit lagi. Kelalaian ini mendukacitakan para pemerhati
pemuda yang datang dari jauh yang mahu melihat kehebatan ketua pemuda
mereka berpidato.
Ramai pembahas dari negeri
membangkitkan soal calon boleh menang. Kebanyakan pembahas negeri
tidak memperkenalkan diri jadi amat sukar bagi kita menulis siapa
yang berucap, dan ini tidak pula ditegur oleh pengerusi tetap. Ramai
perwakilan berada di luar dewan dan mereka kurang berminat mendengar
pembahas berucap. Pembahas pula banyak yang mengampu pucuk pimpinan
yang menyebabkan mereka lebih suka bertemu dengan rakan-rakan di luar
dewan.
Seperti kata wakil Pahang, ini adalah
perhimpunan agung Umno bukannya membentangkan laporan tahunan di mana
ramai pembahas negeri bukannya membahaskan isu sebaliknya
membentangkan apa yang pemuda buat di negeri masing-masing. Sementara
itu wakil Kelantan, Anuar Safian mencabar PAS melaksanakan hukum
hudud di Kelantan kerana sudah lama rakyat Kelantan menunggu hukum
hudud.
Kebanyakan wakil negeri yang berbahas
tidak pandai menyampaikan pidato. Mereka terlalu serius yang
menyebabkan perwakilan bosan. Wakil Pahang lebih menyerlah dengan
cara penyampaiannya yang bersahaja. Manakala wakil Wilayah
Persekutuan, Rizalman Mokhtar tidak kurang hebat pidatonya yang
mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan bermimpi di siang hari
untuk menawan Putrajaya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno
Bahagian Bandar Tun Razak berikrar akan membenamkan PKR pada pilihan
raya umum akan datang. Banyak perkara yang diucap oleh Khairy tidak
diulas oleh pembahas negeri kerana mungkin mereka mahu jadi calon
jadi tidak perlu menegur pucuk pimpinan. Seperti kata wakil majlis
tertinggi, Datuk Seri Shahidan Kassim, beliau sentiasa mengutamakan
calon pemuda ketika beliau menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Perlis.
"Saya sudah pilih pemuda sebagai
calon tetapi di saat-saat akhir ada orang guna cable, maka calon itu
digugurkan," katanya yang bersetuju supaya jangan guna cable
dalam pemilihan calon menang.
Kesimpulan, tidak ada yang menarik
dalam persidangan pemuda hari ini kerana mereka tidak serius
membincangkan agenda bangsa. Sebab itu lebih banyak kerusi kosong
dalam dewan kerana perwakilan lebih suka berlegar di luar dewan
sedangkan ketika bertanding untuk menjadi perwakilan ke Kuala Lumpur
mereka sanggup menghabiskan wang untuk menang. Tetapi bila datang ke
persidangan di Kuala Lumpur, mereka tak masuk dewan. Inilah pemuda
Umno di zaman Khairy. Mungkinkah yang berada di luar dewan itu para
penyokong Datuk Mukhriz Mahathir dengan Datuk Seri Dr Khir Toyo?