VaultSafeUall

Tuesday 12 June 2012

LAJIM NAFI KELUAR UMNO

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin menyifatkan dakwaan kononnya beliau mahu meninggalkan UMNO hanya spekulasi.

Katanya, ia mungkin wujud disebabkan kelantangan beliau menyuarakan masalah rakyat Sabah, namun tidak seharusnya dinilai sebagai tindakan menentang parti atau mahu meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Tambahnya, beliau juga tidak pernah membuat kenyataan mahu meninggalkan BN.

"Saya tidak pernah beritahu akan tinggalkan BN. Berita itu cuma andaian kerana apabila saya bercakap seolah-olah seperti pembangkang.

"Saya hanya bawa suara rakyat Sabah yang mahukan penambahbaikan," kata Ahli Parlimen Beaufort itu di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Sebelum ini, desas-desus mengatakan Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO merupakan antara pemimpin BN Sabah yang akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing.

Desas-desus itu semakin bertiup kencang apabila beberapa portal propembangkang mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan mengumumkan penyertaan Lajim dan Wilfred Mojilip dalam satu majlis di Sabah, semalam.

Bagaimanapun, pengumuman itu tidak dibuat sehingga kini.

Begitupun, dalam menafikan desas-desus tersebut, Lajim masih berteka-teki apabila menegaskan ia bukanlah keputusan muktamad ketika ditanya mengenai pendiriannya itu.

"Dalam politik macam-macam boleh jadi," katanya.

Sementara itu, Wilfred Mojilip juga menafikan spekulasi itu walaupun beliau menghadiri majlis anjuran PKR di Kota Belud, semalam.

Beliau hadir atas kapasiti Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Sabah memukul gong perasmian majlis sebanyak tujuh kali sambil penyokong PKR melaungkan slogan 'Inikalilah' yang merupakan slogan pembangkang.

"Ini majlis Amanah, tidak ada kaitan dengan politik. Saya tidak keluar parti," katanya.