VaultSafeUall

Sunday 14 October 2012

ZAHID BERI AMARAN


Kementerian Pertahanan berikrar tidak akan membenarkan mana-mana pihak berterusan mempolitikkan perolehan kapal selam negara dengan menabur fitnah sehingga bukan sahaja menjejaskan imej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bahkan nama baik negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu khususnya pembangkang dan pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu harus dihentikan segera kerana aspek pertahanan negara bukan bahan dagangan politik.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua pihak tidak sesekali mempertikai keupayaan kapal selam negara dan merendahkan kemampuan anak kapal dengan menjadikan perkara tersebut isu pilihan raya demi kepentingan politik sempit.

"Tindakan mereka harus dihentikan dan kapal selam selaku aset terbaik pertahanan negara mesti dipertahankan walau apa-apa pun tuduhan dan fitnah dilemparkan. Kapal selam bukan sahaja aset, tetapi membawa imej negara dan TLDM di mata dunia.

"Dahulu tuduh kapal selam tidak boleh menyelam, tetapi selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijemput menyelam, isu itu senyap. Kemudian Suaram pula timbul sedangkan Perancis sendiri mengesahkan tiada kes pendakwaan," katanya di Kota Kinabalu semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan Sijil dan Insignia Kepakaran Kapal Selam kepada lima pelatih TLDM iaitu Laskar Kelas 1, Wan Abdul Jalil Wan Mohamad, Laskar Kelas 1, Mohd. Farid Muhammad Samimin, Leftenan Komander Shahrul Azri Mohamad Sobri, Leftenan Komander Saidin Ibrahim dan Pegawai Waran 1, Rosli Abdul Rahman.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda, Datuk Rosland Omar dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Abdul Rahman Ayob.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata, perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang bakal ditandatangani merupakan kejayaan besar kepada usaha Malaysia menamatkan konflik yang berlanjutan selama 40 tahun itu.

"Kejayaan ini adalah kredit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memulakan inisiatif semasa menjawat Menteri Pertahanan dulu dan tambah manis usaha Malaysia ini diiktiraf kerajaan Filipina apabila mereka menjemput Perdana Menteri menyaksikan detik bersejarah itu.

"Tamatnya konflik bersengketa ini bukan sahaja akan mengurangkan masalah pendatang tanpa izin (PATI) daripada menyeludup masuk ke Sabah, tetapi tugas berat yang terpaksa ditanggung TLDM sebelum ini juga dapat dikurangkan," jelasnya.


Saturday 13 October 2012

SAIFUDIN JANGAN MAKAN KELILING


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah diminta tidak mengamalkan politik 'makan keliling' setelah mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertahankan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang terbukti menerima dana daripada George Soros iaitu penyangak mata wang berbangsa Yahudi.

Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, kenyataan yang dibuat beliau menerusi portal pembangkang yang dibiayai Soros, Malaysiakini, jelas membuktikan Saifuddin kini mencari jalan selamat dengan bersikap liberal demi kepentingan politik peribadi.

Beliau juga membangkitkan persoalan kemungkinan kenyataan itu menunjukkan Saifuddin yang diberi peluang berada dalam Kabinet tidak yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kekal berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

''Kenyataan Saifuddin yang mengelirukan itu boleh diibaratkan seperti api dalam sekam yang sebenarnya mengundang bahaya kepada perjuangan UMNO dan BN sekarang.

''Saya percaya Saifuddin kini membeli 'insurans nyawa' daripada pakatan pembangkang dengan menonjolkan beliau sebagai pemimpin liberal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan Saifuddin yang mendakwa serangan dijalankan BN ke atas Soros, berpotensi "memakan diri sendiri" kelak seperti yang dilaporkan dalam Malaysiakini.

Sementara itu, Muhammad Zahid turut mempersoalkan tindakan yang kononnya liberal tersebut telah memberi kebaikan kepada UMNO, sedangkan Suaram bersungguh-sungguh mahu mencemarkan nama baik negara dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan isu kapal selam Scorpene dan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

''Saya kecewa kerana siang malam TIBAI berceramah mendedahkan keburukan Suaram kepada rakyat tetapi Saifuddin pula bersikap lewah tentang pertubuhan tidak sah itu yang terbukti menjadi tali barut kuasa asing," jelasnya.

Mengulas perkara sama, beliau menegaskan, sebagai seorang pemimpin UMNO, Saifuddin perlu mempertahankan sebarang usaha memfitnah Presiden parti yang juga Perdana Menteri.
''Saya mahu bertanya kepada Saifuddin, di mana suara beliau ketika Suaram begitu ghairah memfitnah Najib atau adakah beliau sekarang merupakan alat perkakas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
''Mengapa Saifuddin begitu berminat mempertahankan Suaram dan Malaysiakini sedangkan Soros bertanggungjawab menyebabkan ekonomi negara hampir runtuh pada 1997," ujarnya.


Saturday 6 October 2012

PM LAWAT DATUK KOR


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempat meluangkan masa menziarahi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Datuk Abu Bakar Ali, 66, di Kertih walaupun sibuk dengan lawatan kerjanya ke negeri ini hari ini.

Najib yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengambil peluang itu bertanyakan khabar keadaan veteran UMNO itu yang uzur sejak lebih tiga bulan lalu akibat penyakit spondylosis yang menjejaskan saraf dan pergerakannya.

Sementara itu Abu Bakar berkata, beliau terharu dengan kunjungan Perdana Menteri itu.

''Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang berusaha meluangkan masa menziarahi saya," ujarnya.

Abu Bakar yang kini semakin pulih, pernah koma selama hampir dua minggu dan telah menjalani pembedahan di Kuala Lumpur pada awal Ogos lalu.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Kor dan cukup disenangi penduduk setempat tanpa mengira fahaman politik, beliau menjadi wakil rakyat selama lima penggal dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2008.


Friday 5 October 2012

KABINET BAYANGAN PENTINGKAN KRONI, NEPOTISME


Tindakan menyenarai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar dalam Kabinet bayangan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan amalan kroni, nepotisme serta mengutamakan ahli keluarga dipraktikkan dalam pakatan pembangkang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali  berkata, perkara tersebut jelas apabila anak-beranak itu memegang jawatan menteri dalam Kabinet bayangan yang sama, sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan dasar serupa.

Katanya, Anwar sering menuduh UMNO dan BN mengamalkan kronisme tetapi pendedahan Kabinet bayangan itu menunjukkan 'muka sebenar' pemimpin pakatan pembangkang tersebut yang sebenarnya mempraktikkan amalan berkenaan.

"Sebab itu, Anwar sebelum ini tidak mahu mendedahkan Kabinet bayangan walaupun didesak pelbagai pihak. Kita sudah tahu sebabnya, beliau selalu tuduh UMNO dan BN amalkan kronisme, nepotisme tetapi beliau dari awal lagi telah meletakkan nama isteri serta anak sebagai calon menteri.

"Kalau UMNO buat begitu, pasti akan diserang bertubi-tubi oleh mereka, usahkan jawatan menteri, nak berniaga pun tidak boleh. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memerintah 21 tahun, beliau turun baru anaknya bertanding dalam pilihan raya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas senarai Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang didedahkan oleh pengendali blog papagomo.com yang didakwa diperoleh daripada sumber dalaman PKR.

Berdasarkan senarai tersebut, Anwar akan menjadi Perdana Menteri, Wan Azizah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Nurul Izzah pula menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Jawatan penting lain seperti Menteri Pertahanan dipegang oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Menteri Dalam Negeri pula diberikan kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali manakala Menteri Kewangan satu dan dua masing-masing dijawat oleh Ketua Biro Publisiti DAP, Tony Pua serta Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau tidak pasti sejauh mana kebenaran senarai tersebut tetapi percaya maklumat tersebut diperoleh hasil percakapan kumpulan kanan dalam pakatan pembangkang yang telah bocor.

"Apabila saya lihat senarai ini, hati kecil saya berbisik 'Ya Allah, janganlah jadi'," jelasnya.

Mengulas mengenai Azmin yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Ibrahim memberitahu bahawa jawatan itu tidak sesuai dengan Ahli Parlimen Gombak itu kerana individu yang dilantik memegangnya perlulah orang yang menghormati undang-undang.

"Selain itu, saya hairan bagaimana Rafizi boleh dilantik sebagai Menteri Kewangan kedua dalam Kabinet bayangan ini kerana beliau tidak layak. Sejauh mana kehebatan beliau? Baru dua tahun terlibat dengan politik, bertanding pun tidak pernah, jadi Ahli Parlimen pun tidak, setakat dedahkan mengenai isu projek Fidlot Nasional, itu bukan kelayakannya.

"Mereka juga silap meletakkan Tian Chua sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani kerana beliau wajar dilantik menjadi Menteri Luar dalam Kabinet bayangan pembangkang kerana memudahkannya berhubung dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar untuk menyalurkan dana," ujarnya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Politik/20121005/po_01/Pembangkang-utamakan-kroni#ixzz28PsFZKc3
© Utusan Melayu (M) Bhd