VaultSafeUall

Monday 4 March 2013

ANWAR KENA HENTIKAN SANDIWARA SAMAN

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyaman Inquirer News, Reuters dan agensi perisikan Filipina berhubung dakwaan mengaitkan beliau dengan pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah sebelum berbuat demikian terhadap media tempatan.

Pengerusi Biro Antarabangsa Institusi Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, dalam hal itu Utusan Malaysia hanya merujuk kepada laporan yang dibuat oleh ketiga-tiga pihak tersebut.

“Anwar harus menghentikan ‘sandiwara saman’ sebab rakyat sudah muak dengan taktik lapuk ini.
“Saya juga yakin apa yang dilaporkan oleh agensi perisikan Filipina tentang penglibatan Anwar pastinya benar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan peguam N. Surendran yang mengesahkan Anwar akan mengambil tindakan saman terhadap Utusan Malaysia berhubung laporan yang didakwa mengaitkannya dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu itu.

Surendran turut menyatakan tindakan serupa akan diambil kepada mana-mana media yang mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Anwar, namun beliau tidak mengesahkan sama ada akan memfailkan saman terhadap agensi berita antarabangsa, Reuters.

Reuters pada 14 Februari lalu mendakwa pencerobohan kumpulan bersenjata asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu berlaku atas jemputan pembangkang di negara ini.

Fakhrul Azman yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu memberitahu, Anwar yang kini seperti ‘cacing kepanasan’ sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik.
“Sehubungan itu, tindakan Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berkuasa memang tepat dan wajar sekali," ujarnya.

Beliau turut meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pendirian sama ada menyangkal laporan agensi perisikan Filipina itu atau menganggap laporan itu datang daripada ‘peti besi’ sahaja.