Sunday, 26 May 2013

PERKASA DESAK KALIMULLAH MINTA MAAF


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terus mendesak ahli perniagaan yang juga Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Seri Kalimullah Hassan meminta maaf kepada orang Melayu di negara ini.

Setiausaha Penerangan Perkasa, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, Kalimullah digesa berbuat demikian kerana menyokong kenyataan biadap Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman- Rani yang melabelkan Utusan Malaysia sebagai akhbar rasis.

Fakhrul yang menyokong gesaan Ketua Penerangannya, Ruslan Kassim sebelum ini memberitahu, Kalimullah juga diminta mengenakan hukuman terhadap Azran di atas tindakannya mencerca akhbar Utusan Malaysia yang merupakan lidah rasmi orang Melayu.

“Perkasa ulangi gesaan supaya Kalimullah memohon maaf kepada semua orang Melayu menerusi sidang akhbar terbuka dalam masa tujuh hari. Jika tidak, kami tidak akan teragak-agak untuk menyertai Kelab Veteran UMNO, pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memboikot AirAsia serta AirAsia X.

“Selain itu, Perkasa juga mahu tahu sama ada Kalimullah menyokong tindakan Azran itu kerana dendam dan mahu mengalihkan perhatian orang ramai.

“Kami juga ingin bertanya adakah benar dakwaan mengatakan beliau rapat dengan peguam M. Puravalen yang mengatur pertemuan antara PI Bala dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim?" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kalimullah menyokong ‘serangan’ Azran terhadap Utusan Malaysia menerusi akaun Twitter milik beliau dengan melahirkan rasa bangga melihat rakyat bersatu mengutuk akhbar itu yang didakwanya sebagai rasis.

Malah, beliau berkata: “Only the bigots will find comments like that of Azran Osman-Rani offensive. He is a true Malaysian." (Hanya orang yang taksub akan melihat kenyataan Azran Osman-Rani sebagai menyakitkan. Dia adalah rakyat Malaysia sejati."

Beliau menambah: “I wonder sometimes under which rock some of these Utusan personalities crawled out from. Must be a real sank dark place." (Saya tertanya-tanya, dari mana munculnya personaliti Utusan ini. Mesti dari ceruk mana )."

Thursday, 18 April 2013

SAYA CUMA MINTA UNDI BUKAN KEMPEN

Naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggunakan kedudukannya sebagai menteri sementara untuk meraih sokongan dari pegawai tentera dalam satu acara rasmi, namun berpendapat ia bukan satu bentuk kempen.

"Saya bukan minta sokongan anda, saya bukan berkempen. Tidak, saya cuma minta undi anda, itu saja. Wartawan, jangan tulis ini ya!," katanya sambil ketawa ketika berucap kepada kira-kira 600 orang pegawai dan veteran tentera dalam satu pertemuan di kem Tebrau di Johor Bahru.

Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kerahsiaan dan ketelusan undi tentera akan terpelihara walaupun dengan pelaksaan undi awal untuk pasukan keselamatan bagi pilihan raya umum kali ini.

Langkah baru itu juga menangkis khabar angin bahawa kertas undi pegawai berkenaan dipangkah oleh pegawai penyelia tanpa pengetahuan mereka.

“Pangkahlah siapa yang anda mahu, asalkan anda pangkah BN. (Media) jangan lapor ya," katanya lagi dengan berjenaka.

Saturday, 13 April 2013

CUKUPLAH RAIS

Pemimpin Umno bahagian Jelebu, Negeri Sembilan menyerah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon kerusi itu dalam pilihan raya umum 5 Mei ini, tetapi amat berharap agar dikekalkan penyandangnya Datuk Seri Rais Yatim.

Setiausaha Umno bahagian Zaharuddin Meor Sameon berkata  menteri itu sangat berpengalaman, personaliti dan kredibilitnya masih lagi diperlukan di bahagian tersebut.

Apatah lagi, katanya, Rais yang juga ketua bahagian itu mempunyai hubungan akrab dengan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di kawasan berkenaan.

"Kami bermesyuarat (bahagian) pada tahun lalu (untuk tentukan calon). Datuk Seri Rais mendapat sokongan sebulat suara oleh ahli jawatankuasa bahagian. 

"Sokongan penuh kepadanya," kata Zaharuddin ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin bahawa Rais yang juga ketua bahagian Jelebu digugurkan sebagai calon BN pada pilihan raya umum nanti.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata dua lagi calon - Timbalan Ketua bahagian Jalaluddin Ali dan Naibnya Zainuddin Ismail - bagaimanapun mendapat sokongan sedikit rendah berbanding Rais. 

Setiausaha itu berkata lagi bahagian telah menyerahkan senarai nama itu sebagai mengikut prosedur yang ditetapkan parti.

Dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, jika Rais terpilih menjadi calon, beliau bakal ditentang oleh Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah. 

Sementara itu, hasrat yang sama turut disuarakan oleh kepimpinan bahagian Jempol sekalipun mereka sepakat menyokong siapa sahaja calon pilihan pucuk pimpinan parti.

Sungguhpun begitu, mereka juga berharap penyandangnya Datuk Lilah Yasin akan dikekalkan mempertahankan kerusi yang dimenanginya.

"Mengenai calon di Jempol, kami sudah muafakat, kami sokong siapa saya sahaja yang dicalonkan. Yang penting parti menang," kata Ketua Pemudanya, Mohd Nizam Aman.

Selain Lilah dan namanya disenaraikan sebagai calon Jempol, Nizam berkata pihaknya juga mencalonkan Ujang Sabri dan senarai itu diserahkan kepada pucuk kepimpinan parti.

"Besar kemungkinan Datuk Lilah Yasin dikekalkan," katanya ketika dihubungisemalam.

Jika Lilah dicalonkan semula bertanding di kerusi itu, beliau bakal ditentang calon PAS,  penyanyi lagu 'Janji Manismu', Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin.

Ulasan saya, cukuplah Rais. Ikutlah Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Rafidah Aziz yang sudah membuat pengumuman tidak akan nbertanding semula. Awak sudah jadi ahli parlimen sejak zaman Tun Razak lagi. Berilah orang muda pula.

Tuesday, 9 April 2013

TIKET PERCUMA UNTUK PENGUNDI SABAH DI KL

Barisan Nasional (BN) menawarkan tiket kapal terbang percuma kepada penduduk Sabah yang menetap di Semenanjung untuk mengundi di negeri Borneo itu ketika Pilihan Raya 2013 sebagai balasan kepada sokongan mereka, kata sebuah pertubuhan NGO hari ini.
Pemimpin NGO berkenaan berkata ahli kepada bilik operasi BN yang beribu pejabat di bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Jalan Raja Laut, direkrut semalam untuk mendaftarkan pengundi Sabah yang berminat dengan tawaran tersebut.
“Mereka kata kalau boleh undi BN lah,” katanya hari ini.

“Namun jika nak undi pembangkang, jangan nampak sangat. Maknanya jangan pakai baju pembangkang,” katanya yang enggan dikenali, dan menambah NGO yang berkenaan menguruskan kebajikan warga Kadazandusun di sini.
Beliau berkata tiket percuma itu diberikan untuk warga Sabah yang menetap di Kuala Lumpur, Pulalu Pinang atau Johor Baru untuk pergi ke bandar-bandar besar di Sabah seperti Kota Kinabalu, Sandakan, ataupun Tawau empat hari sebelum hari mengundi yang dijangka pada 27 April, dan pulang ke Semenanjung pada hari selepas pengundian atau empat hari selepas.
“Ia hanya untuk pengundi berdaftar, namun jika kamu mempunyai suami atau isteri dan anak kecil, boleh bawa mereka sekali,” katanya.
“Saya hanya akan menghantar nama dan nombor IC kepada bilik operasi,” katanya.
Portal Free Malaysia Today melaporkan Ketua DAP Sabahr Dr Hiew King Cheu pada 2010 berkata terdapat hampir 160,000 hingga 200,000 penduduk Sabah bekerjadi Semenanjung, dengan sejumlah besar mereka berasal dari kawasan pedalaman Sabah termasuk Ranau dan Tambunan.
Pembangkang hanya memenangi satu kerusi Parlimen dan DUN di Sabahpada Pilihan Raya 2008, apabila DAP berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi DUN Sri Tanjong di Tawau.
Hiew memenangi kerusi Kota Kinabalu dengan majoriti tipis, 106 undi.
BN memenangi kerusi Parlimen Sandakan melalui Presiden Liberal Democratic Party (LDP) Datuk V. K. Liew dengan majoriti 176 undi.
Parti Progressif Sabah (SAPP), melalui Datuk Chua Soon Bui memenangi kerusi Parlimen Tawau di bawah BN dengan majoriti 4,867 undi.
SAPP, bagaimanapun meninggalkan pakatan kerajaan pada September 2008 selepas peristiwa bersejarah dalam Pilihan Raya 2008 yang menyaksikan BN tewas dua pertiga kerusi Parlimen dan pembangkang daripada DAP-PAS-PKR menawan lima negeri - Perak, Kedah, Pulalu Pinang, Kelantan, dan Selangor, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat (PR).
BN hilang majoriti dua pertiga kerusi apabila hanya memenangi 85 kerusi dan pembangkang pula meraih 80 kerusi.
Di kawasan negeri Borneo pula BN menyapu bersih kerusi apabila memenangi 55 kerusi manakal dua lagi milik pembangkang.
NGO berkenaan bagaimanapun tidak pasti sama ada pengundi yang diberikan tiket juga akan menerima duit poket.
“Menurut mereka, bila kapal terbang mendarat di KK, akan ada satu kaunter untuk mereka mendaftar. Tidak pasti sama ada akan ada duit poket,” katanya merujuk kepada Ibu Negeri Sabah.
“Jika saya kadi mereka, ambil sahaja, duuit kita. Bila dalam tempat mengundi, itu urusan sendiri,” tambahnya dan tidak semestinya akan mengundi BN.
Pilihan Raya 2013 dijangkan akan menjadi persaingan sengit apabila BN bersiap sedia untuk menghadapi kemaraan pembangkang.

Monday, 4 March 2013

ANWAR KENA HENTIKAN SANDIWARA SAMAN

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyaman Inquirer News, Reuters dan agensi perisikan Filipina berhubung dakwaan mengaitkan beliau dengan pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah sebelum berbuat demikian terhadap media tempatan.

Pengerusi Biro Antarabangsa Institusi Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, dalam hal itu Utusan Malaysia hanya merujuk kepada laporan yang dibuat oleh ketiga-tiga pihak tersebut.

“Anwar harus menghentikan ‘sandiwara saman’ sebab rakyat sudah muak dengan taktik lapuk ini.
“Saya juga yakin apa yang dilaporkan oleh agensi perisikan Filipina tentang penglibatan Anwar pastinya benar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan peguam N. Surendran yang mengesahkan Anwar akan mengambil tindakan saman terhadap Utusan Malaysia berhubung laporan yang didakwa mengaitkannya dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu itu.

Surendran turut menyatakan tindakan serupa akan diambil kepada mana-mana media yang mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Anwar, namun beliau tidak mengesahkan sama ada akan memfailkan saman terhadap agensi berita antarabangsa, Reuters.

Reuters pada 14 Februari lalu mendakwa pencerobohan kumpulan bersenjata asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu berlaku atas jemputan pembangkang di negara ini.

Fakhrul Azman yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu memberitahu, Anwar yang kini seperti ‘cacing kepanasan’ sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik.
“Sehubungan itu, tindakan Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berkuasa memang tepat dan wajar sekali," ujarnya.

Beliau turut meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pendirian sama ada menyangkal laporan agensi perisikan Filipina itu atau menganggap laporan itu datang daripada ‘peti besi’ sahaja.


Wednesday, 30 January 2013

NIK AZIZ BERLAKON DENGAN KARPAL SINGH?


Kemesraan yang diperlihatkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh, disifatkan tidak lebih daripada lakonan kedua-dua belah pihak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berpendapat, agak sukar untuk melihat keikhlasan dalam kerjasama politik kedua-dua pemimpin parti pembangkang itu kerana masing-masing mempunyai ideologi yang terlalu berbeza dan penyokong fanatik tersendiri.

"Mereka boleh berlakon supaya masyarakat tengok tiada masalah tetapi realitinya saya fikir mereka susah untuk menyelesaikan dan menyelaraskan pendirian mereka.

"Dalam hal ini, mereka tidak lagi mengira untung rugi kerana matlamat mereka hanya satu iaitu untuk menjatuhkan UMNO, kehendak masing-masing memang berbeza tetapi mereka berpakat asalkan UMNO hancur," katanya.


Sunday, 14 October 2012

ZAHID BERI AMARAN


Kementerian Pertahanan berikrar tidak akan membenarkan mana-mana pihak berterusan mempolitikkan perolehan kapal selam negara dengan menabur fitnah sehingga bukan sahaja menjejaskan imej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bahkan nama baik negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu khususnya pembangkang dan pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu harus dihentikan segera kerana aspek pertahanan negara bukan bahan dagangan politik.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua pihak tidak sesekali mempertikai keupayaan kapal selam negara dan merendahkan kemampuan anak kapal dengan menjadikan perkara tersebut isu pilihan raya demi kepentingan politik sempit.

"Tindakan mereka harus dihentikan dan kapal selam selaku aset terbaik pertahanan negara mesti dipertahankan walau apa-apa pun tuduhan dan fitnah dilemparkan. Kapal selam bukan sahaja aset, tetapi membawa imej negara dan TLDM di mata dunia.

"Dahulu tuduh kapal selam tidak boleh menyelam, tetapi selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijemput menyelam, isu itu senyap. Kemudian Suaram pula timbul sedangkan Perancis sendiri mengesahkan tiada kes pendakwaan," katanya di Kota Kinabalu semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan Sijil dan Insignia Kepakaran Kapal Selam kepada lima pelatih TLDM iaitu Laskar Kelas 1, Wan Abdul Jalil Wan Mohamad, Laskar Kelas 1, Mohd. Farid Muhammad Samimin, Leftenan Komander Shahrul Azri Mohamad Sobri, Leftenan Komander Saidin Ibrahim dan Pegawai Waran 1, Rosli Abdul Rahman.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda, Datuk Rosland Omar dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Abdul Rahman Ayob.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata, perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang bakal ditandatangani merupakan kejayaan besar kepada usaha Malaysia menamatkan konflik yang berlanjutan selama 40 tahun itu.

"Kejayaan ini adalah kredit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memulakan inisiatif semasa menjawat Menteri Pertahanan dulu dan tambah manis usaha Malaysia ini diiktiraf kerajaan Filipina apabila mereka menjemput Perdana Menteri menyaksikan detik bersejarah itu.

"Tamatnya konflik bersengketa ini bukan sahaja akan mengurangkan masalah pendatang tanpa izin (PATI) daripada menyeludup masuk ke Sabah, tetapi tugas berat yang terpaksa ditanggung TLDM sebelum ini juga dapat dikurangkan," jelasnya.