VaultSafeUall

Wednesday 30 November 2011

KHAIRY KENA SABOTAJ?


Semalam pemuda, wanita dan puteri Umno sudah bersidang. Sepanjang pemerhatian saya di persidangan pemuda, nampak sangat perwakilan pemuda tidak berdisiplin. Ketika pemuda berehat selama 30 minit selepas ketuanya, Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan dasar, pengerusi tetap, Datuk Fatah Abdullah terpaksa menunggu lama para perwakilan masuk ke dewan sebelum perbahasan dimulakan.

Ini yang melemahkan pemuda. Bagaimana mahu menghadapi pilihan raya sedangkan ketetapan waktu (punctuality) masih tidak dititikberatkan oleh para perwakilan. Yang menyedihkan para pemerhati pemuda tidak dapat menyaksikan ucapan dasar Khairy kerana tv litar di luar Dewan Tun Hussein Onn menyiarkan ucapan ketua wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil. Manakala tv litar yang satu lagi menyiarkan ucapan ketua puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin. Kenapa pengurusan PWTC begitu lalai tidak menyiarkan tv litar untuk ucapan Khairy? Adakah ketua pemuda itu disabotaj oleh pengurusan PWTC?

Apabila diberitahu kepada pihak pengurusan PWTC, barulah tv litar menyiarkan ucapan Khairy yang tinggal lima minit lagi. Kelalaian ini mendukacitakan para pemerhati pemuda yang datang dari jauh yang mahu melihat kehebatan ketua pemuda mereka berpidato.

Ramai pembahas dari negeri membangkitkan soal calon boleh menang. Kebanyakan pembahas negeri tidak memperkenalkan diri jadi amat sukar bagi kita menulis siapa yang berucap, dan ini tidak pula ditegur oleh pengerusi tetap. Ramai perwakilan berada di luar dewan dan mereka kurang berminat mendengar pembahas berucap. Pembahas pula banyak yang mengampu pucuk pimpinan yang menyebabkan mereka lebih suka bertemu dengan rakan-rakan di luar dewan.

Seperti kata wakil Pahang, ini adalah perhimpunan agung Umno bukannya membentangkan laporan tahunan di mana ramai pembahas negeri bukannya membahaskan isu sebaliknya membentangkan apa yang pemuda buat di negeri masing-masing. Sementara itu wakil Kelantan, Anuar Safian mencabar PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana sudah lama rakyat Kelantan menunggu hukum hudud.

Kebanyakan wakil negeri yang berbahas tidak pandai menyampaikan pidato. Mereka terlalu serius yang menyebabkan perwakilan bosan. Wakil Pahang lebih menyerlah dengan cara penyampaiannya yang bersahaja. Manakala wakil Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar tidak kurang hebat pidatonya yang mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan bermimpi di siang hari untuk menawan Putrajaya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Bandar Tun Razak berikrar akan membenamkan PKR pada pilihan raya umum akan datang. Banyak perkara yang diucap oleh Khairy tidak diulas oleh pembahas negeri kerana mungkin mereka mahu jadi calon jadi tidak perlu menegur pucuk pimpinan. Seperti kata wakil majlis tertinggi, Datuk Seri Shahidan Kassim, beliau sentiasa mengutamakan calon pemuda ketika beliau menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Perlis.

"Saya sudah pilih pemuda sebagai calon tetapi di saat-saat akhir ada orang guna cable, maka calon itu digugurkan," katanya yang bersetuju supaya jangan guna cable dalam pemilihan calon menang. 

Kesimpulan, tidak ada yang menarik dalam persidangan pemuda hari ini kerana mereka tidak serius membincangkan agenda bangsa. Sebab itu lebih banyak kerusi kosong dalam dewan kerana perwakilan lebih suka berlegar di luar dewan sedangkan ketika bertanding untuk menjadi perwakilan ke Kuala Lumpur mereka sanggup menghabiskan wang untuk menang. Tetapi bila datang ke persidangan di Kuala Lumpur, mereka tak masuk dewan. Inilah pemuda Umno di zaman Khairy. Mungkinkah yang berada di luar dewan itu para penyokong Datuk Mukhriz Mahathir dengan Datuk Seri Dr Khir Toyo?

UMNO TAK PERCAYA KEPADA DIRI SENDIRI


Ahli parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin berkata Umno sudah tidak percaya kepada diri sendiri sehingga meninggalkan pangkalan yang ada.

Katanya, Umno kini tak berani bercakap tentang hal orang Melayu lagi sedangkan MCA dan MIC berani bercakap tentang hak kaum mereka.

"Kegagalan Umno menjaga hati orang Melayu, menyebabkan orang Melayu menyertai Perkasa yang lebih diyakini sebagai wadah untuk memperjuangkan nasib orang Melayu," katanya yang bertanding atas tiket PKR pada pilihan araya umum 2008. Beliau berkata demikian ketika menyertai forum anjuran Kelab Alumni Umno di PWTC kelmarin. Dua lagi ahli panel ialah Tan Sri Dr Nordin Kardi dan Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin.

Zulkifli berkata beliau sedih dalam isu NFC, orang Umno sendiri yang mendesak Datuk Seri Shahrizat letak jawatan.

"Dalam pakatan pembangkang, walaupun mereka tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim buat salah dalam kes liwat dan kes video, tetapi mereka sepakat membela Anwar sedangkan masalah dalaman Umno sendiri yang menyebabkan Umno lemah," ujarnya.

Beliau mendedahkan sudah ada menteri BN yang sudah dihubungi Anwar, jika Pakatan Rakyat menang, akan melompat menyertai Pakatan Rakyat.

Katanya, dalam soal ini Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh disalahkan kerana beliau mewarisi Umno dalam suasana Umno sudah rosak..

Monday 28 November 2011

MALAYSIAN MALAYSIA BERCANGGAH DENGAN WASATIYYAH


Konsep "Malaysian Malaysia" bercanggah dengan konsep watasiyyah yang diamalkan kerajaan BN selama ini.

Menurut Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar, "Malaysian  Malaysia" adalah konsep yang dangkal yang meminggirkan hakikat sejarah dan latar belakang politik negara ini dan mengenepikan asal usul identitinya yang berakarumbi dari sistem kesultanan Melayu.

"Sebab itulah saya menganggap Malaysian Malaysia sebagai idea yang tidak seimbang dan bertentangan dengan lunas keadilan," kata beliau ketika membentangkan kertas kerja di Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1Malaysia di PWTC hari ini. Seminar setengah hari itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata watasiyyah merupakan amalan kesederhanaan yang sudah 54 tahun menjadi pegangan kerajaan Malaysia.

"Cabaran yang dihadapi oleh wasatiyyah ialah dari ahli politik yang sanggup mengorbankan keadilan dan keseimbangan kerana mengejar undi dari kaum tertentu. Bagi mereka, kuasa politik mendahului segala-galanya asalkan matlamat menghalalkan cara," katanya.

Sehubungan dengan itu Dr Chandra meminta pentadbir dalam sektor awam dan pengurus dalam sektor swasta tidak bersifat pilih bulu ke atas kaum tertentu yang dianggap sebagai melanggar prinsip keseimbangan atau watasiyyah.

Beliau bersetuju bahawa rakyat Malaysia mendukung dan menagmalkan prinsip watasiyyah yang telah termaktub dalam gagasan 1Malaysia.

"Inilah kunci kejayaan negara kita. Inilah rahsia keamanan dan keharmonian kaum serta kestabilan masyarakat kita," katanya sambil mengakui bahawa tidak dapat dinafikan bahawa dalam soal perekonomian, golongan atasan memperolehi lebih banyak manfaat daripada pertumbuhan ekonomi jika dibandingkan dengan golongan bawahan.

Beliau menambah kerajaan cuba memperbaiki ketidakseimbangan ini melalui Pelan Tansformasi Ekonominya.

Akhir sekali beliau mengajak semua pihak - cendekiawan, tokoh agama, profesional, wartawan, ahli perniagaan, pentadbir dan pemimpin NGO memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran kepentingan keseimbangan dalam konteks masyarakat berbilang kaum.

ISU WASATIYYAH DALAM USUL AGAMA


 Isu wasatiyyah, isu hukum hudud, seks bebas, perpaduan dijangka menjadi isu utama yang akan disentuh dalam usul agama yang akan dibahaskan pada perhimpunan agung Umno Rabu depan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Biro Agama UMNO Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, semua ahli Umno perlu faham apa makna wasatiyyah.

Katanya, watassiyah perlu dijadikan petunjuk kepada rakyat Malaysia betepa kesederhaan amat diperlukan kepada kita semua agar kelangsungan pembangunan ummah dapat diteruskan dengan penuh harmoni dan jaya.

"PAS mengungkit kembali isu hukum hudud yang menimbulkan pertelingkahan dengan DAP. Maka konsep wasatiyyah (kesederhanaan) perlu dijelaskan di mana hukum hudud hanya sebahagian dari hukum hakam yang telah disyariatkan Allah," katanya.

Beliau yang juga ADUN Kerdau mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang mampu menangani isu seks bebas (seksualiti merdeka).

"Isu ini membuktikan bahawa Umno bukan sahaja tidak menerima apa yang dibawa oleh Ambiga bahkan dapat membuktikan tohmahan Pas bahawa Umno adalah punca segala-galanya dalam isui seks bebas adalah terpesong," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Biro Agama Umno Selangor, Datuk Zainal Abidin  Sarkom berkata punca perpaduan yang lemah di kalangan umat Islam yang menyebabkan agama lain cuba menyebar agama mereka di kalangan orang Islam.

Katanya, perpaduan di kalangan umat Islam semakin teruk sehingga perbuatan fitnah,syak wasangka,  adu domba, khianat, hasad dengki di kalangan mereka sudah menjadi satu lumrah.

"Bila keadaan ini berlaku maka umat Islam mengajak orang luar bersahabat dan ini berlaku di zaman kejatuhan kerajaan Othmaniah dan Palestine.

"Bila musuh dijadikan sahabat, maka akhirnya umat Islam terlepas satu negeri di Palestine," katanya yang mahu ahli Umno mengambil ikhtibar dari kejatuhan kerajaan Palestine.

Bekas Setiausaha Kerja Umno Bahagian Cheras, Syed Abdullah Syed Ibrahim berkata tiada makna apa sahaja usul dibincang dalam perhimpunan agung Umno kalau semata-mata mahu mengampu pucuk pimpinan.

"Para pembahas berucap tanpa ilmu, emosi dan perjuangan mereka tidak jelas yang menyebabkan matlamat parti menjadi kabur," katanbya yang kesal dengan sikap perwakilan yang datang ke Kuala Lumpur bukannya untuk serius berbahas sebaliknya datang makan angin di mana di malam hari mereka memenuhi pusat dangdut dan karaoke.

Bagi bekas Ketua Angkatan Muda PKR Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar, PAS tidak serius mahu melaksanakan hukum hudud. Bila tiba pilihan raya baru timbul hukum hudud sedangkan PAS sudah lama diberi peluang memerintah Kelantan tetapi mereka tidak laksanakannya.

"Yang lucunya hukum hudud Kelantan tidak sama dengan hukum hudud Terengganu. Maknya bila Pakatan Rakyat menang, 14 negeri mempunyai 14 hukum hudud yang berbeza yang memeningkan kepala umat Islam," katanya.

Sunday 27 November 2011

RAMZI DIPENJARA SATU TAHUN

Datuk Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu selepas didapati bersalah menghantar SMS ugutan kepada tiga wakil rakyat BN dan SMS fitnah kepada bekas setiausaha sulit menteri besar Terengganu.

dr ahmad ramzi mohamad zubirHakim Mahkamah Sesyen M Bakri Abd Majid menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan itu.

Bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh itu dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga bulan untuk kesalahan mengugut ADUN Paka Mohd Ariffin Abdullah, Adun Permaisuri Abd Halim Jusoh dan Adun Ajil Datuk Rosol Wahid di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April 2009.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu Wan Ahamad Wan Muda, yang kini timbalan setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu dijalankan berasingan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membenarkan Ahmad Ramzi diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin.

Dalam penghakimannya, M Bakri berkata mahkamah perlu mengikuti perkembangan semasa sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan yang menyaksikan perbuatan jenayah juga berubah termasuk menggunakan medium baru seperti internet.

"Kecederaan reputasi atau harga diri, tidak kurang pedihnya dengan kecederaan fizikal. Sehubungan itu hukuman perlu dijatuhkan seiring dengan perkembangan ini," katanya.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi, Ooi Chooi Gaik and Nur Azimul Azami.

Pihak pembelaan ketika merayu hukuman diringankan berkata ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan ia juga tidak melibatkan keganasan serta tidak memberi kesan kecederaan kepada mana-mana pihak.

Pihak pendakwaan pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dan meminta setiap hukuman dijalankan berasingan.

Dalam hujahnya, Mohd Jazamuddin berkata walaupun  perbuatan tertuduh tidak mendatangkan kecederaan fizikal, ia telah menjatuhkan reputasi Wan Ahamad, sekaligus menjejaskan reputasi kerajaan di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Wednesday 23 November 2011

MASALAH DALAMAN MASIH WUJUD


Masalah dalaman yang diakui oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang masih wujud. Setiap kali pilihan raya umum menjelang, masalah ini sentiasa timbul.

 Perebutan calon di kalangan ahli jawatan kuasa Umno bahagian menyebabkan mereka rela sabotaj calon yang tidak digemari.Biarpun Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin sendiri telah berulang kali menasihatkan ahli-ahli Umno supaya mengelakkan masalah dalaman untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, tetapi nasihat tinggal nasihat sahaja.

Mereka lebih rela melihat BN kalah bila mereka tidak dicalonkan. Sampai bila isu ini berterusan? Blog ini sempat menemui beberapa ketua bahagian Umno untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai masalah dalaman

Menurut ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar, masalah dalaman merupakan halangan besar untuk memenangi pilihan raya umum ke 13.

Katanya, walau bagaimana pun masih belum terlambat untuk memperbetulkan permasalahan yang berlaku dengan syarat ahli-ahli Umno kembali ke perjuangan yang sebenarnya.

Bagi Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, jika ahli Umno meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri, perkara seperti ini tidak akan berlaku.

"Apa makna menjadi calon kalau calon itu kalah? Sebab itu kita perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan yang mengambil kira pelbagai aspek sebelum mengumumkan seseorang itu sebagai calon BN," katanya.

Beliau berharap pada pilihanraya umum nanti semua ahli UMNO bekerja kuat untuk memenangkan parti tanpa mengambil kira siapa yang jadi calon.

Ketua UMNO Segambut, Datuk Kamaruddin Ambok berkata masalah berpuak-puak dalam Umno bukanlah perkara baru. Setiap kali pemilihan parti akan ada puak yang menyokong atau menentang ketua bahagian.

"Yang menjadi masalah kepada Umno bila pihak yang kalah tidak mahu menerima pihak yang menang. Pada masa yang sama puak yang menang menyisihkan puak yang kalah maka perpecahan dalam parti semakin melarat," katanya.

Justru itu, katanya, kita perlu berpegang kepada pesanan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa yang menang bukan menang semua dan yang kalah bukan kalah semua.

"Mereka hendaklah merapatkan perpaduan sebaik-baik saja keputusan pemilihan parti diumumkan. Janganlah dekat pilihan raya baru kita cari yang kalah kerana luka sudah dalam," katanya lagi.

PERHIMPUNAN AGUNG PENTING BUAT UMNO


Perhimpunan agung UMNO dari 29 November hingga 3 Disember ini bukan sahaja penting buat UMNO malah buat BN kerana UMNO adalah tunggak utama BN. Ia menjadi amat penting kerana ia adalah perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum ke 13.

Justru itu apa sahaja isu yang dibangkitkan para perwakilan akan mendapat perhatian dunia kerana ia bukan sahaja dihadiri oleh perwakilan UMNO malah turut dihadiri pemerhati dari parti-parti utama di dunia.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata UMNO tidak dapat menyekat jika ada perwakilan yang membahaskan isu sensitif.

“UMNO adalah parti berasaskan kaum seperti MCA dan MIC. Oleh itu sudah tentu para perwakilan akan membahaskan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan bangsa mereka,” katanya ketika memberi taklimat media mengenai perhimpunan agung UMNO yang akan diadakan hujung bulan ini.

Katanya, malah dalam kongres MCA dan MIC para perwakilan mereka juga membahaskan isu sensitif tetapi tidak mendapat liputan media. Sebaliknya apa yang dibahaskan oleh perwakilan UMNO mendapat liputan media yang penuh.

Katanya, walaupun UMNO memperjuangkan hak orang Melayu tetapi UMNO tetap memperjuangkan hak semua kaum kerana UMNO adalah tunggak kerajaan BN.

Bercakap tentang perhimpunan agung ini, seramai 2,627 perwakilan akan menghadiri perhimpunan selama tiga hari itu yang  menampilkan 191 orang setiausaha bahagian yang akan hadir sebagai perwakilan automatik buat kali pertama.

Ketika ditanya kenapa bendahari dan ketua penerangan bahagian tidak diberi perwakilan automatik juga, Tengku Adnan menjelaskan  ia melibatkan pindaan perlembagaan.

“Pindaan perlembagaan parti dua tahun lepas meluluskan supaya setiausaha bahagian diberi perwakilan automatik kerana mereka adalah penggerak parti di peringkat bahagian. Mereka bekerja secara sepenuh masa di bahagian. Oleh itu mereka diberi penghormatan untuk hadiri perhimpunan secara automatic,” katanya lagi.

Perhimpunan agung bermula dengan taklimat presiden secara tertutup yang akan diadakan pada petang 29 November (Selasa). Pada sebelah malamnya, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan perhimpunan serentak pemuda, wanita dan puteri.
https://mail.google.com/mail/images/cleardot.gif

JAWATANKUASA KARIAH DIMINTA TERUS BERI SOKONGAN


Jawatan kuasa kariah masjid diminta terus beri sokongan kepada masjid walaupun mereka tidak lagi memegang jawatan selepas 31 Disember ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mereka yang tidak pegang jawatan janganlah terus merajuk dan langsung tidak datang ke masjid.

"Pada masa yang sama ahli jawatan kuasa kariah yang baru janganlah terus meminggirkan ahli jawatan kuasa lama yang tidak pegang jawatan lagi," katanya di majlis pertemuan dengan semua ahli jawatankuasa kariah masjid di seluruh Wilayah Persekutuan di ibu pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini. Seramai 11 ahli jawatankuasa kariah dari 70 buah masjid dan 80 surau jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan menghadiri majlis tersebut.

Katanya, pernah berlaku bila ahli jawatankuasa lama sudah tidak pegang jawatan, mereka tidak dijemput ke majlis anjuran masjid.

"Ini amat mendukacitakan kerana mereka (yang baru dan lama) perlu berganding bahu memakmurkan masjid," katanya lagi.

Ahli jawatan kuasa kariah sekarang dilantik selama dua tahun dari 1 Januari 2010 dan akan berakhir pada 31 Disember ini. Mulai 1 Januari 2012, perlantikan baru akan dibuat yang menyebabkan ramai yang akan digugurkan sebagai ahli jawatan kuasa kariah.

Beliau mahu masjid dijadikan tempat menyatukan umat selain daripada tempat ibadat yang penuh dengan ketenangan. Di majlis yang sama beliau mengumumkan sagu hati kepada 1650 orang ahli jawatan kuasa kariah sebanyak RM821,100.00 sebagai tanda terima kasih kerajaan kepada perkhidmatan mereka selama dua tahun. Setiap orang dijangka mendapat sagu hati sebanyak RM497.00.

Jamil Khir juga puas hati kerana tidak timbul sebarang kontroversi di semua masjid di Wilayah Persekutuan seperti yang berlaku di negeri lain yang mana ada penceramah luar mengambil kesempatan berceramah politik di dalam masjid.

Di majlis itu juga, beliau melancarkan 13 buah van serbaguna yang mana 10 buah van dibeli dengan harga RM1.2 juta oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) manakala tiga lagi disumbang oleh syarikat korporat.

Van serbaguna ini boleh diguna sebagai van jenazah, ambulan dan juga sebagai van penumpang.

"Ini adalah inovasi kepada van jenazah. Dalam satu bulan orang mati tidak ramai, maka bila tiada kematian, van itu boleh digunakan kakitangan masjid untuk pergi mesyuarat atau menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta juga dijadikan ambulan bila ada kecemasan," kata beliau yang mana idea 3 dalam 1 itu adalah cetusan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, oleh kerana van jenazah jarang digunakan, akhirnya bateri van rosak dan bila ada kematian terpaksa sewa van lain, maka dengan pelbagai guna van ini van dapat dimaksimumkan penggunaannya.

PEMUDA BN UMPAN PENGUNDI MUDA


Pemuda BN  tidak ketinggalan mengumpan pengundi muda. Menurut ahli exco pemuda UMNO, Jamawi Jaafar, pemuda BN telah banyak membuat program termasuk BN Youth Job Fair yang memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Paling terbaru BN Youth Music diadakan untuk pertandingan muzik menggunakan media sosial seperti you-tube dan facebook. Anak-anak muda hanya perlu upload video mereka ke www.bnyouthmusic.com,” katanya yang juga pengerusi biro kebudayaan pemuda UMNO.

Katanya, banyak lagi usaha mendekati anak-anak muda sedang dilaksanakan termasuk mewujudkan kelab-kelab motor untuk mengurangkan mat rempit serta memberi latihan kemahiran kepada generasi muda di pusat giat mara di seluruh negara.

Kelmarin Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menemui sayap pemuda dan puteri UMNO di PWTC untuk menyuntik semangat kepada  generasi muda supaya mereka terus bersama BN.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata acara yang julung kali diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno itu merupakan permintaan khusus kedua-dua sayap parti untuk memberi suntikan motivasi memandangkan pengundi muda adalah faktor penentu dalam pilihan raya umum akan datang.
Pemuda dan Puteri melancarkan slogan baru “BN Pilihan Orang Muda” sebagai identiti baru pergerakan itu dalam usaha memberi lebih pilihan kepada pengundi sasar menjelang pilihan raya umum akan datang.

Tuesday 22 November 2011

PM DIMINTA BERHATI-HATI

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta berhati-hati ketika memilih calon pilihan raya terutamanya di kalangan menteri yang ada skandal.

Menurut bekas Setiausaha Kerja UMNO Sabah, mereka yang ada kes tentu akan melompat parti jika Pakatan Rakyat menang kerana mahu kesnya ditutup oleh kerajaan baru.

"Justru itu saya berharap Najib berhati-hati memilih calon," katanya.

Katanya, jika Pakatan Rakyat menang, menteri yang ada masalah ini dijangka melompat parti untuk mengelak kesnya didakwa di mahkamah.

Di antara menteri yang kontoversi sekarang ialah Datuk Seri Shahrizat Jalil yang diserang kerana penglibatan keluarganya dalam NFC yang mendapat pinjaman RM250 juta.

Beliau yang tewas di Lembah Pantai belum pasti akan bertanding di kerusi mana kerana kerusi itu akan ditandingi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.






Monday 21 November 2011

SHAHRIZAT PERLU LETAK JAWATAN

Imej Barisan Nasional (BN) terjejas teruk berikutan skandal NFC (National Feedlot Corporation) Sdn Bhd yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Justru itu beliau perlu meletakkan jawatan sebagai menteri, desak Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Beliau bersetuju dengan desakan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Bung Mokhtar yang meminta Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri.

"Bung Mokhtar mewakili semua ahli parlimen BN. Maka Shahrizat perlu menghormati pandangan BBC yang mahu beliau meletakkan jawatan," katanya.

Menurutnya lagi, skandal NFC memalukan kerana ia melibatkan keluarga seorang menteri. Keluarga Shahrizat telah mendapat pinjaman sebanyak RM250 juta dari kerajaan untuk membangunkan perniagaannya. Ia lebih mengejutkan apabila NFC telah membeli kondominium yang tidak kena mengenai dengan perniagaan lembu itu.

Katanya lagi, kalau semua menteri begitu mudah ambil duit kerajaan, maka rosaklah kerajaan dan UMNO.

Baginya Shahrizat bukan sahaja perlu meletakkan jawatan sebagai menteri malah sebagai Ketua Wanita UMNO kerana bagaimana UMNO mahu menjawab tohmahan pembangkang di saat-saat BN mahu menghadapi pilihanraya umum.

"Agak sukar bagi UMNO mahu menangani isu NFC ini kecuali Shahrizat meletakkan jawatan," tegasnya lagi.

Friday 11 November 2011

SELAMATKAH SHAHRIZAT?

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil percaya isu projek Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC) telah digunakan untuk menyerang beliau selaku ketua wanita Umno dan pengerusi Wanita BN.
NONE
"Serangan ini merupakan percubaan dari pihak pembangkang untuk melemahkan
semangat saya...
"Saya ingin tegaskan, kami (keluarga Shahrizat) bukannya begitu lemah.
"Saya rasa keluarga saya tidak sepatutnya dilemparkan dengan tuduhan sebegini kerana keluarga saya telah bekerja keras, tetapi itu bukan perkara pokoknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Raja'ah:Seni, Idea dan Kreativiti Sulaiman Esa Dari 1950an-2011 di Balai Seni Visual Negara, di Kuala Lumpur.
"Pada diri saya sendiri, saya lihat ini adalah agenda politik. (Ia) satu percubaan daripada pembangkang untuk melemahkan semangat dan tindakan Wanita Umno. Kami tidak semudah itu untuk dirobohkan," katanya.

"(Perkara) ini sudah dijawab dengan panjang lebar oleh menteri pertanian dan industri asas tani.

pakatan rakyat convoy visit national feedlot corporation 031111 abbatoir"Dan daripada apa yang saya dimaklumkan, jawapan daripada beliau itu sangat jelas dan nyata," katanya.

Shahrizat berkata beliau juga gembira kerana kementerian akan pantau kejayaan projek itu.
"Mereka (pembangkang) bukan minat sangat dengan NFC. Itu memang diarahkan kepada saya, selaku ketua Wanita Umno, dan juga pengerusi Wanita BN," katanya lagi.

NONEDalam pada itu, Sharizat turut mengambil peluang untuk menempelak Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin kerana mengaitkan keluarganya dengan projek berkenaan.

"Agenda politik mereka begitu jelas. Mereka terumbang-ambing, macam ketua Wanita PKR tu. Saya malulah dia seorang wanita Malaysia macam tu," katanya sinis.

Ulasan saya, selamatkah Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO pada pemilihan akan datang? Isu NFC menyebabkan beliau dikritik hebat dalam parlimen. Ia adalah projek peribadi keluarga Shahrizat tidak kena mengenai dengan wanita UMNO.

Kenapa Shahrizat perlu kaitkan isu itu dengan wanita UMNO? Adakah semua bahagian wanita UMNO dapat peruntukan dari Shahrizat selepas keluarganya diberi NFC? Adakah tabung wanita UMNO semakiin berisi sekarang sejak Shahrizat jadi Ketua Wanita?

Shahrizat dalam dilema sekarang. Adakah dia akan mempertahankan jawatan ketua wanita? Beliau menang mengalahkan Tan Sri Rafidah Aziz tetapi nampaknya beliau tak kekal lama di kerusi ketua wanita sejak isu ini dikorek oleh pihak pembangkang. Siapa yang berani menentangnya?

Satu lagi di mana beliau akan bertanding? Di Lembah Pantai? Di mana pula ketua bahagian yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nongchik mahu bertanding?Inilah dilema Shahrizat yang namanya agak tercemar sejak isu NFC dibongkar oleh pembangkang.