VaultSafeUall

Sunday 18 December 2011

PENSWASTAAN PENUHKAN KOCEK INDIVIDU




 Ketika berucap pada majlis forum bertajuk Waqaf: Mendefinisikan semula kemakmuran dan pertumbuhan baru-baru ini, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, Wakaf Korporat merupakan cara terbaik untuk mengelakkan berlakunya 'rompakan' duit rakyat melalui penswastaan.

Katanya, penswastaan cara Barat hanya memenuhkan kocek individu tertentu dan akhirnya mereka boleh menarik balik pegangan pada bila-bila masa hingga menyebabkan syarikat tertentu mengalami masalah.

"Penyelesaian terbaik adalah Wakaf Korporat, dengan cara ini aset syarikat akan kekal dan mampu diuruskan dengan amanah oleh individu yang dilantik untuk menguruskannya
.
"Ekonomi cara Islam sangat stabil berbanding ekonomi yang diperkenalkan oleh Barat. Contohnya kesan negatif ekonomi kapitalis Barat boleh dilihat menerusi pergolakan di Timur Tengah dan juga krisis hutang di Eropah.

"Setiap pengurusan ekonomi tetap mempunyai risiko tetapi melalui Wakaf Korporat risikonya lebih rendah kerana tidak melibatkan kepentingan individu,'' katanya.

Muhammad Ali berkata, Wakaf Korporat mula diterima kerana dilihat mampu menyelesaikan banyak masalah terutamanya melibatkan kebocoran hak milik Melayu dan Islam apabila diswastakan cara Barat.
"Usaha telah dilakukan untuk mewujudkan semula cara ekonomi Islam berkenaan dan terpulang kepada semua untuk menilai dan menyokongnya,'' jelasnya.


Apa yang dikata oleh bekas CEO Johor Corp ini memang benar kerana ternyata semua usahawan yang dapat peluang penswastaan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad  hanya memenuhkan kocek peribadi sahaja.

Contoh yang jelas, Tan Sri Nazmi Salleh yang dapat penswastaan Mara Holding Sdn Bhd membuat duit dengan begitu mudah menjual asset seperti ladang kelapa sawit yang menjadi kebanggaan MARA sebelum ini. Kalau jual kepada orang Melayu tak apa. Ini dijual kepada orang Cina.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad belum dapat dihubungi untuk pengesahan benarkah Nazmi enggan membayar hutang MARA sebanyak RM40 juta.

Duit RM40 juta bukannya sedikit. Kita nak dapat pinjaman MARA bukannya mudah tetapi Nazmi senang-senang enggan jelaskan hutang MARA. Inikah usahawan Melayu yang perlu dibanggakan?

Friday 16 December 2011

PAS BERMIMPI TAWAN TERENGGANU?


Terengganu akan menjadi rebutan utama di antara BN dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang. Apatah lagi kini PAS sudah menguasai lapan kerusi pada pilihanraya umum ke 12 lalu. Kerusi yang dimenangi PAS ialah Bukit Tunggal,Wakaf Mempelam, Ladang, Batu Buruk, Bukit payong, Ru Rendang, Manir dan Sura.

Di antara lapan kerusi PAS ini, PAS hanya menang selesa di empat kerusi sahaja iaitu Wakaf Mempelam (Wahid Endut), Batu Buruk (Dr Syed Azman Syed Nawawi), Ru Rendang (Datuk Seri Haji Hadi Awang) dan Sura (Wan Hassan Ramli) manakala empat kerusi lagi Bukit Tunggal, Ladang, Manir dan Bukit Payong PAS menang kurang dari majoriti 1,000 undi.

PAS memerlukan sembilan kerusi lagi untuk menubuhkan kerajaan simple majoriti (17 kerusi). Lapan kerusi BN yang menang dengan majoriti kurang dari 1,000 undi mungkin dapat ditawan PAS jika BN gagal menyelesaikan masalah pemilihan calon. Pemerhati politik berpendapat bahawa pada tahun 1999 BN tumbang di Terengganu bukan kerana PAS kuat tetapi kerana faktor dalaman Umno sendiri yang menyebabkan orang Umno memangkah PAS.

Lapan kerusi BN yang kritikal itu ialah Jabi, Tepuh, Teluk Pasu, Alor Limbat, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Paka dan Chukai. Jika PAS dapat mempertahankan lapan kerusi yang sedia ada dan dapat menawan lapan kerusi BN yang kritikal ini, maka PAS memerlukan satu lagi kerusi untuk membentuk kerajaan simple majoriti. Satu lagi kerusi dari mana? Mungkin dari DUN Bandar yang diwakili MCA. Calon BN,Datuk Toh Chin Yaw menang dengan majoriti 1,142 undi. Jika orang Cina mengundi pembangkang maka BN tumbang di Bandar dan PAS dapat menubuhkan kerajaan simple majoriti. Pada tahun 1999, calon PAS, Azmi Lop Ahmad pernah menewaskan calon BN yang sama di kerusi Bandar.

Nampaknya Pesuruhjaya PAS Terengganu, Wahid Endut sudah bersedia untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru selepas PRU 13 nanti jika BN gagal menyelesaikan masalah dalaman.

Sejauh mana faktor  orang Datuk Seri Idris Jusoh versus orang Datuk Seri Ahmad Said akan menyebabkan  BN tumbang? Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad, Ahmad Said tidak perlu membuang semua orang Idris sebagai calon.

Katanya, jika Alias Abdullah yang lantang menyokong Idris tidak dicalonkan, maka kerusi Alor Limbat yang menang dengan majoriti 799 undi pada tahun 2008 akan jatuh ke tangan PAS.

"Kita mahu calon boleh menang. Oleh itu bila pilih calon, jangan kira dia orang Idris ke atau orang Ahmad Said," katanya ketika ditemui di The Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut sumber, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menapis senarai calon dari Terengganu seteliti mungkin supaya tidak ada sebarang balas dendam dari pucuk pimpinan negeri terhadap orang Idris Jusoh.

"Kita mahu menang. Jadi semua calon adalah orang Umno dan bukan orang Idris atau orang Ahmad," kata sumber itu lagi. Sumber itu yakin Perdana Menteri mendapat maklumat dari pelbagai sumber sebelum membuat keputusan sesiapa yang layak jadi calon di sesuatu kerusi DUN.

Menteri Besar, Ahmad Said  sudah mengingatkan bahawa senarai calon BN belum diputuskan lagi oleh Badan Perhubungan Umno Terengganu.

"Bagi yang nak jadi calon, rajin-rajinlah turun padang. Mereka tak perlu lobi jadi calon kerana rakyat tahu siapa yang mereka mahu jadi wakil rakyat mereka," kata beliau di majlis perjumpaan dengan semua ahli parlimen dan ADUN Terengganu baru-baru ini.

Dapatkah BN mempertahankan Terengganu? Atau adakah tsunami 1999 akan melanda Terengganu sekali lagi? Jawapannya bergantung pada hari penamaan calon siapa yang jadi calon BN. Rakyat sudah tentu tidak mahu lagi calon yang sudah lebih dua penggal yang membuat rumah besar seperti heboh di internet betapa besarnya rumah tiga ADUN BN baru-baru ini. Bagaimana pula empat ADUN di Setiu yang memboikot majlis Tan Sri Muhyiddin Yassin di Setiu pada tahun lepas? Wajarkah mereka dicalonkan semula iaitu Ramlan, Khazan, Halim dan Ashaari Idris?

Inilah dilemma Ahmad Said dalam memilih calon. Salah pilih calon, BN akan kecundang lagi di Terengganu kerana rakyat Terengganu lebih melihat pada  calon yang bertanding daripada  parti.

Tuesday 13 December 2011

NAZMI ENGGAN JELAS HUTANG MARA RM40 JUTA?


TAN Sri Nadzmi Mohd Salleh berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan lahir pada 1 Mei 1954.  Nadzmi dibesarkan dalam sebuah keluarga yang ramai, iaitu 10 orang adik-beradik. Bapanya adalah pegawai daerah dan kemudian menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Berusia 57 tahun, beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah ekonomi di Universiti Putra Malaysia. Sebenarnya, cita-cita awalnya adalah mahu menjadi jurutera elektrik, dan kemudian bertukar kepada juruukur kuantiti.Selepas itu, beliau pernah bekerja di Petronas sebagai eksekutif pemasaran di bahagian pemasaran antarabangsa. Atas pelawaan seorang rakan, beliau menyertai HICOM sebagai Penolong Pengurus Bahagian Projek. Beliau bertanggungjawab mengenal pasti dan menguruskan pembangunan projek.
Penglibatan Nadzmi dalam pasukan projek kereta nasional yang melahirkan PROTON dan EON, menyebabkan beliau dilantik sebagai Pengurus Pemasaran Perkhidmatan EON pada tahun 1984.Pada tahun 1990, ketika berusia 36 tahun kedudukannya bertambah baik apabila beliau dilantik sebagai Pengarah atau Ketua Pengurus Besar EON.

Selepas setahun beliau memegang jawatan ini, pencapaian keuntungan EON sebelum cukai pada tahun itu meningkat daripada RM38 juta ke RM120.6 juta.Kini Nadzmi turut memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat besar. Antaranya adalah Pengerusi Eksekutif Mara Holding Sdn. Bhd., Pengerusi R. J. Reynold, Pengerusi Eksekutif ERL, Pengarah/Pengerusi Len Brothers Rubber Products Industries Berhad, dan Pengarah SIRIM.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaannya adalah perwatakannya yang sentiasa ceria dan tersenyum, mudah mesra dan senang didekati. Ketika beliau memegang jawatan di EON, beliau menemui ramai pegawai kanan dan pengerusi syarikat pengeluar kereta di seluruh dunia dan belajar daripada mereka. Pengalaman dan idea yang banyak diperolehnya daripada pengalaman ini yang digunakannya bagi mengembangkan EON.

Nadzmi percaya kepada kepelbagaian dalam pengurusan diri. Semasa kecil, beliau seperti kanak-kanak biasa suka mengumpul setem dan duit syiling. Beliau juga gemar memasak dan pernah diberi penghargaan sebagai tukang masak terbaik dalam pasukan pengakap yang dianggotainya ketika bersekolah dahulu. Beliau mahir memasak masakan antarabangsa, antaranya masakan Itali dan Iran.

Pada awal pembabitannya dalam korporat, beliau mendapat banyak ilmu yang berguna dalam dunia pengurusan dan perniagaan melalui pergaulan rapatnya dengan mendiang Tan Sri Loh Boon Siew dan Tan Sri Eric Chia.Beliau juga yakin pengurusan perlu dilakukan dengan bermatlamat, memerlukan kesabaran dan usahawan perlu berani mengambil risiko.

Memang hebat manusia bernama Nadzmi ini. Tun Dr Mahathir memang suka anak muda ini. Sebab itu beliau dilantik sebagai Pengerusi Proton yang mana Dr Mahathir adalah penasihat Proton. Pada tahun 1998 di zaman Dr Mahathir, Nadzmi dapat peluang mengambilalih Mara Holding Sdn. Bhd. Anak syarikat MARA itu dijual dengan harga yang murah kepada beliau. Kini beliau masih berhutang sebanyak RM40 juta dengan MARA, tetapi kenapa beliau tidak bayar hutang MARA sedangkan beliau telah menjual banyak harta Mara Holding yang kini dikenali sebagai Nadi Corporation Sdn Bhd?
Yang sedihnya tokoh korporat besar macam Nadzmi enggan bayar hutang MARA. Yang menjadi mangsa rakyat biasa yang mahu buat pinjaman dengan MARA begitu sukar dapat pinjaman. Kenapa manusia seperti Nadzmi sanggup mengkhianati bangsa Melayu sedangkan Mara adalah ditubuhkan untuk menolong orang Melayu?

Yang paling menyedihkan ladang Mara Holding di Kg Koh Setiawan seluas 10,000 ekar telah dijual kepada orang cina? Inikah pejuang bangsa Melayu yang sanggup menjual tanah Mara kepada orang Cina? Bagi saya, beliau adalah pengkhianat bangsa Melayu yang tak layak menerima anugerah usahawan Melayu yang berjaya.

Tanah Nadi Corp di belakang Hotel Nikko juga sudah dijual dengan harga yang lumayan dan kini kondo sedang dibina di situ. Memang beliau kini kaya raya tapi tak mahu jelaskan hutang MARA. Oleh itu menteri yang jaga MARA perlu ambil tindakan serius kepada manusia seperti Nadzmi ini.
Bila ada orang macam dialah maka rakyat biasa susah dapat pinjaman MARA.Orang seperti Nadzmi ini tak perlu disanjung kerana menjual ladangnya kepada orang cina. Orang Cina bukan main suka beli ladang beliau kerana dahulu ia adalah ladang kelapa sawit milik MARA. Inilah wajah sebenar pejuang bangsa Melayu!


Wednesday 7 December 2011

BUKU ANTI NAJIB DISEBAR


Setiap kali perhimpunan agung Umno berlangsung, pelbagai buku politik diterbitkan. Ada yang dibeli secara pukal untuk disebarkan kepada para perwakilan Umno. Tahun ini tidak ketinggalan dua buah buku politik diterbitkan menjelang perhimpunan agung UMNO.

Pertama, buku "Kesilapan-Kesilapan Najib" yang ditulis oleh bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju, Shahbuddin Husin. Ini adalah buku kedua beliau selepas "Najib PM Terakhir". Manakala buku kedua ialah "Konspirasi Pak Lah- Susilo" karya S.H.Alattas.

Menurut Shahbuddin, cetakan pertama buku "Kesilapan-Kesilapan Najib" sebanyak 10,000 naskhah sudah habis dijual. Kini 10,000 buku itu s sedang dicetak kali kedua.

Yang lucunya nama  Shahbuddin disalahertikan dengan seorang lagi Shahbuddin  yang juga ahli Umno Wangsa Maju. Shahbuddin yang dimaksudkan itu ialah Shahbuddin Embun. Apabila buku sulung Shahbudin Husin berada di pasaran, ramai pemimpin Umno menelefon Shahbudin Embun memarahinya kerana mengkritik Najib sedangkan yang menulis buku itu adalah Shahbuddin Husin.

Ketika ditemui di PWTC petang ini, Shahbuddin Embun berkata gara-gara buku Shahbuddin Hussin, dia pula yang kena maki oleh ahli-ahli Umno yang menyanjung Najib.

Beliau kesal buku itu ditulis oleh seorang bekas pemimpin bahagian. Katanya, kalau ahli UMNO bebas mengkritik pucuk pimpinan, siapa yang mahu menghormati pemimpin Umno.

"Penerbitan buku tersebut memberi peluru kepada pembangkang untuk menembak BN pada pilihan raya umum," kata Shahbuddin Embun.

Bagaimanapun, Shahbuddin Husin menolak dakwaan ini yang mengatakan sebagai penulis, dia bebas menegur pucuk pimpinan kerana sebagai ahli Umno dia wajib menegur Umno jika hala tuju Umno tidak jelas dan kabur.

"Saya tidak menduga buku ini mendapat sambutan dari ahli-ahli politik yang mahu mengetahui apa itu kesilapan Najib selaku Perdana Menteri dan Presuden UMNO," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ditanya adakah beliau diupah oleh mana-mana pihak untuk menulis buku tersebut, Shahbuddin menjelaskan bahawa beliau menulis atas kesedaran menegur Umno untuk kebaikan orang Melayu.

"Saya bukanlah penulis upahan. Saya menulis atas kesedaran saya untuk menegur Najib supaya Umno terus relevan kepada orang Melayu," katanya lagi. 

Katanya, Umno kini sudah jauh lari dari landasan perjuangan.

"Hala tuju Najib tidak sama dengan ayahandanya, Tun Razak yang mementingkan kedudukan orang Melayu. Najib yang menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan yang banyak membantu orang Melayu. Sebaliknya dasar 1Malaysia Najib tidak menguntungkan orang Melayu," katanya lagi.

Beliau yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju kesal kerana pemuda di zaman najib tidak berani bersuara untuk kepentingan orang Melayu. Sebab itulah, katanya, Perkasa sudah mengambilalih peranan Umno.

Katanya lagi, beliau tidak kesah jika Umno memecatnya dari parti kerana sebagai ahli Umno beliau berhak menegur pucuk pimpinan Umno.

Sementara itu buku "Konspirasi Pak Lah-Susilo" merupakan karya Pak Habib yang ke 97. Nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai penulis buku politik yang antaranya telah menjatuhkan Tan Sri Musa Hitam dari kerusi Timbalan Perdana Menteri.

Buku terbaru Pak Habib ini turut menghentam Najib sambil memberi akronim baru BN sebagai "Bini Najib". Manakala NKRA pula disifatkan sebagai "Najib Kerja Rosmah Arah". Najib dituduh sebagai suami yang dayus kerana takut kepada Rosmah. Kalau di zaman Pak Lah, Pak Lah tunduk kepada menantunya, Khairy Jamaluddin kini di zaman Najib, Najib pula alah kepada isterinya.

Kritikan Pak Habib terhadap Najib lebih berbisa dari buku Shahbuddin Hussin. Beliau menulis dengan bahasa pasar tetapi pembaca suka stail Pak Habib yang banyak menyiarkan keterangan gambar (caption) yang berbisa pada setiap gambar yang terdapat dalam bukunya itu.

Di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, setiap kali perhimpunan agung Umno berlangsung, pelbagai buku politik bebas dijual. Sejak zaman Pak Lah jualan buku politik telah diharamkan di PWTC pada musim perhimpunan agung Umno. Tradisi ini diteruskan di zaman Najib di mana penulis buku politik tidak dibenarkan menjual buku politik.

"Saya tak kesah sama ada dihalau oleh pengawal keselamatan PWTC, saya tetap akan menjual buku saya di PWTC supaya ahli-ahli Umno dapat mengetahui siapa Najib yang sebenarnya," kata Pak Habib.

Pak Habib seorang penulis yang berani. Menteri mana yang tidak kenal Pak Habib. Menceritakan pengalamannya menulis buku Perang Kuala Linggi yang menceritakan krisis politik Melaka, beliau hairan Naib Presiden Umno ketika itu, Ghafar Baba tidak memarahinya sedangkan buku itu mengkritik Ghafar dengan teruk yang mana beliau menjadi dalang krisis politk Melaka  pada tahun 1977. Rupa-rupanya orang Ghafar sudah membeli semua buku itu dan membuangnya ke  dalam sungai.Ghafar yang berjiwa besar tetap bersalam dengan Pak Habib yang menghentamnya.

Manakala sebuah lagi buku politik "Sempatkah Muhyiddin Jadi PM?" karya Azwan Adli tidak sempat dicetak menjelang perhimpunan agung Umno ini. Menurut penerbitnya, Shamsul Azli Mamat, beliau tidak sempat mencetaknya apabila pejabatnya dipecah masuk pencuri yang membawa lari komputer yang mengandungi bahan-bahan grafik buku tersebut.Kini polis sedang menyiasat siapa yang memecah masuk pejabat penerbit buku itu.

NAIB PRESIDEN PERKASA SERTAI PKR


Perkasa yang lebih sinonim dengan perjuangan hak Melayu mendapat tamparan besar apabila Naib Presidennya, Musli Oli mengisytiharkan keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

Menurut Musli, walaupun Perkasa memperjuangkan hak orang Melayu, tetapi beliau lebih percaya kepada PKR yang membela rakyat berbilang kaum.

"Sebagai rakyat Sabah saya lihat PKR lebih serius memperjuangkan nasib rakyat Sabah," katanya  di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau yang juga ahli jawatan kuasa BN Kota Belud telah mengisytiharkan keluar dari Umno di majlis bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Belud Sabtu lalu.

Katanya, beberapa isu yang diperjuangkan Pakatan Rakyat di Sabah lebih menyentuh hati rakyat Sabah seperti isu 20 perkara, isu pendatang tanpa izin dan isu Borneonisasi yang terlepas pandang oleh kerajaan pusat.

"Pakatan menjanjikan royalti minyak 20 peratus serta memberi autonomi kepada Sabah dan juga satu jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada rakyat Sabah," jelasnya lagi sambil berkata beliau tidak perlu melepaskan jawatannya dalam Perkasa kerana Perkasa bukanlah parti politik.

Musli yang juga seorang blogger, 
www.muslioli.blogspot.com berkata nampaknya janji PKR lebih menyentuh rakyat daripada janji BN yang tidak pernah ditunaikannya.

Katanya, Sabah tidak membangun di bawah BN.

"Mana lebuh raya di Sabah sedangkan di Semenanjung ada pelbagai lebuh raya?" soal beliau. 

Katanya lagi, walaupun Sabah diberi empat jawatan menteri, Menteri Pemabngunan Luar bandar, Menteri Luar,Menteri Perladangan dan Komoditi dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, tetapi semua kementerian itu tidak memberi faedah kepada rakyat Sabah.

Beliau sedih terpaksa meninggalkan Umno tetapi beliau tiada pilihan lain kerana Umno tidak serius membela nasib Bumiputera Sabah.

Saturday 3 December 2011

PEMBANGKANG TERUS DISERANG


 Pembangkang terus menjadi bahan ejekan pada hari kedua perhimpunan agung Umno di PWTC. Ketika menyambung perbahasan hari ini, wakil Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata celaka kepada DAP.

"Celaka DAP. DAP kurang ajar bila ADUN Perak menghina warna kulit Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir," katanya.

Katanya, di Pulau Pinang ramai orang Melayu terdiri dari mamak.

"DAP memang celaka. Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang cukup terhina dengan panggilan hitam metalik kepada MB Perak walaupun kulit saya lebih cerah dari kulitnya," katanya sambil disambut gelak-ketawa.

Sementara itu wakil Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz mengajuk cara cakap MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang gagap.

Katanya, kalau Khalid tak bercakap gagap dalam majlis maknanya dia nak menipulah itu.

"Dahulu dia bohongi Sultan Selangor yang mengatakan kerajaan negeri mendapat hasil dari jual pasir sebanyak RM150 juta sedangkan dapat kutip RM35 juta sahaja," katanya.

Pada masa yang sama beliau mencabar Prof.Dr Aziz Bari yang mempertikai titah Sultan Selanor supaya meletakkan jawatan dan masuk dalam politik.

"Jangan berselindung di sebalik kerusi akademik. Kalau anak beliau anak jantan, letak jawatan dan tanding dalam pilihan raya umum, "tegasnya

KERAJAAN PAS DIMINTA UKUR DIRI


Kerajaan PAS Kelantan diminta mengukur kemampuan diri sendiri sebelum mengumumkan mahu melaksanakan negeri berkebajikan.

Menurut wakil Kelantan, Apandi Yusof, PAS tidak perlu bercakap tentang negeri berkebajikan kalau masalah air berkarat di negeri itu selama 21 tahun tidak dapat diselesaikan.

Membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial, beliau yang juga Ketua Pemuda Rantau Panjang mendakwa kerajaan PAS akan menyelesaikan masalah air pada tahun 2027.

"Bukan main lamanya PAS nak selesaikan masalah air sedangkan jika BN menang, BN dapat selesaikan masalah ini dengan segera," katanya.

Oleh itu, katanya lagi, lebih baik Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berundur dari terus memimpin negeri Kelantan.

"Dahulu dia kata Tun Dr Mahathir lama memimpin negara, sekarang dah 21 tahun kenapa dia tak berundur lagi sedangkan dua PM sudah letakkan jawatan (Pak Lah dan Tun Abdullah Ahmad Badawi)?" tanya beliau.

Beliau sedih selepas Nik Aziz jadi MB, Kelantan menjadi juara paling ramai yang menghidap HIV.

"Inikah keberkatan negeri yang dipimpin PAS? Buat malu rakyat Kelantan bila orang yang paling ramai menghidap HIV di Malaysia berada di negeri Nik Aziz," katanya lagi.

PEMUDA,PUTERI, WANITA IKRAR PERTAHAN PUTRAJAYA


 Walau dipanah petir, disambar kilat, pergerakan puteri Umno tidak peduli akan terus mempertahankan Puterajaya.
Menurut ketuanya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, puteri tidak gentar berdepan dengan pembangkang dalam apa jua keadaan sekalipun.
Katanya, sekali mara puteri terus mara dan akan bertempur dengan musuh tidak kira siapa.
"Puteri tetap ikhlas berjuang menjadi jaguh rakyat walaupun puteri bukan wakil rakyat," kata beliau ketika menyampaikan ucapan penangguhan di perhimpunan agung Umno di PWTC petang ini.

Beliau turut mengaitkan ketua pembangkang dengan filem arahan Tan Sri P. Ramlee, filem Madu Tiga.

Katanya, dalam filem itu Jamil ada tiga bini. Bini pertama suka main mahjong yang diibaratkan sebagai DAP, manakala isteri kedua ialah PAS yang suka cakap ana anta dan isteri ketiga ialah rakyat, di mana depan rakyat Jamil sanggup kata "saya rela mati kerana tuan kerana saya sudah simpan wang rakyat di luar negara".

Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Mohamad Aziz yang sedang mempengerusikan perhimpunan itu sempat mencelah,"Bukan tiga bini, empat bini. Bini keempat jantan" yang menyindir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlibat dalam kes liwat.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata puteri (Pu three) ada tiga ciri iaitu muda, wanita dan o\penentu. Katanya, sebagai pengundi muda yang berjantina wanita, puteri akan menjadi penentu dalam pilihan raya ini.

Beliau memberi jaminan kepada Presiden Umno bahawa beliau tidak perlu bimbang kerana puterui sedia buat kerja dan puteri sedia berubah dan diubah.

Sementara itu dalam ucapannya, ketua pemuda, Khairy Jamaluddin mencuri perhatian para perwakilan bila dua kali beliau membaca ayat al quran ketika menyampaikan ucapan penangguhannya.Beliau memetik ayat yang bermaksud Allah yang berkuasa memberi kuasa kepada seseorang dan Dialah juga yang berkuasa mencabut kuasa itu.

Katanya, dari ayat ini tidak ada jaminan bahawa BN akan memerintah semula kerana itu adalah hak Allah sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya umum.

Namun begitu Allah berfirman bahawa nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah selagi kaum itu tidak mahu berubah.

"Ini bermakna Umno kena terus berjuang mempertahankan Putrajaya," tegasnya.

Khairy mengucapkan tahniah kepada Najib yang telah melakukan transformasi sambil mendengar kebimbangan orang muda yang mahu hak mereka dibela dalam pekerjaan, pendapatan dan perumahan.

Manakala Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam ucapan penangguhannya berkata wanita dari dahulu hingga sekarang tetap bersama pemuda, puteri membantu jentera pilihan raya di semua parlimen.

"Kami tetap bekerja kuat memenangkan Umno  dan wanitalah yang ramai menjadi ahli Umno," katanya sambil mengampu semua pemimpin atasan seperti Presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, setiausaha agung serta isteri presiden, Datin Seri Rosmah Mansor yang banyak membantu aktiviti-aktiviti wanita Umno.