VaultSafeUall

Tuesday 7 August 2012

PAS DAN DAP MAKIN RETAK KERANA HUDUD


Pergeseran yang semakin memuncak antara Pas dan DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud mencerminkan bahawa hubungan kedua-dua parti itu dalam pakatan pembangkang kini ibarat retak menanti belah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan terbaru Pengerusi DAP, Karpal Singh yang secara terbuka menolak sepenuhnya rancangan Pas melaksanakan hukum hudud membuktikan hubungan ‘harmoni’ Pas-DAP dalam pakatan tersebut hanya satu sandiwara.

“Bagi saya, mereka kini seperti retak menanti belah. Kita tahu Karpal adalah jurucakap DAP dalam soal dasar. Mereka lantang menolak hudud, malah pernah menganggap Pas terlalu kolot dan terbelakang kerana mahu melaksanakan hukum hudud.

“Pas yang makin hilang identiti tahu mereka perlu mengembalikan falsafah (hukum hudud) kerana perjuangan negara berkebajikan sebelum ini sekadar memenuhi kehendak pakatan pembangkang. Tetapi dalam diam, Pas juga tidak bersetuju dengan DAP.

“Mesej dalam kenyataan Karpal itu sangat jelas, justeru tidak usahlah Pas terus berdolak-dalik mahu mengelirukan rakyat kononnya pelaksanaan hukum hudud dipersetujui oleh DAP," katanya selepas merasmikan program Tadarus al-Quran Perdana Peringkat Parlimen Bagan Datoh, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan lantang Karpal yang disiarkan oleh Buletin Utama semalam bahawa DAP kekal dengan pendirian tidak akan sesekali mendokong hasrat Pas untuk mewujudkan negara Islam.
DAP kata Karpal, tidak akan menawarkan diri berunding dengan Pas mengenai pelaksanaan hukum itu, malah, menegaskan bahawa hudud tidak akan dimasukkan dalam Buku Jingga iaitu perjanjian dasar bersama pakatan pembangkang.

Polemik pelaksanaan hukum hudud kembali hangat apabila Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata kononnya DAP kini memahami dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi segera dinafikan Karpal.

Ahmad Zahid berkata, perkembangan itu menunjukkan Pas, DAP mahu pun Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya tidak mempunyai dasar perjuangan yang sama, sebaliknya, bergabung semata-mata untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita tahu mereka tidak sekata dalam banyak perkara. Di Perak pun kita tahu hendak tengok bendera Pas dan DAP dipacak bersebelahan pun boleh buat penyokong mereka tidak puas hati.

“Saya percaya dalam pilihan raya nanti DAP ada manifesto sendiri, Pas ada manifesto berasingan dan PKR juga begitu. Justeru, Buku Jingga itu sebenarnya tiada makna apa-apa," katanya.

No comments:

Post a Comment