VaultSafeUall

Wednesday 16 May 2012

TEKA TEKI PILIHANRAYA

Rakyat Malaysia masih menunggu nunggu bila akan diadakan pilihanraya umum ke 13. Spekulasi tarikh pilihanraya bermula sejak tahun lepas lagi bila ada yang meramalkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan parlimen pada 11.11.2011 kerana kononnya Perdana Menteri suka nombor 11.

Selepas November, ada pula meramalkan pilihanraya akan diadakan Mac lalu. Kini ada pula yang meramalkan pilihanraya pada Jun ini. Isnin lalu ada kawan sms saya di awal pagi kononnya PM akan membubarkan parlimen pada hari tersebut. Padahal pada malam Ahad itu PM sudah berangkat ke London. Takkan Najib nak bubar parlimen sewaktu beliau berada di luar negara.

Yang mahu pilihanraya awal ialah bakal calon yang tak sabar nak jadi calon. Yang penting jadi calon, kalah menang soal kedua. Yang kedua ialah ketua bahagian yang sudah banyak habis duit kerana berkempen kononnya dia adalah calon boleh menang. Kedua-dua orang ini yang mahu awal pilihanraya diumumkan manakala bagi wakil rakyat yang akan digugurkan lebih suka pilihanraya umum diadakan lebih lambat.

Pada hemat saya, saya lebih suka pilihanraya diadakan pada September ini selepas PM membentangkan Bajet 2013. Kenapa pilihanraya perlu diadakan pada bulan September? Ini adalah kerana bulan Ogos nanti kita akan sambut Hari Kebangsaan yang ke 55 maka sebulan PM akan jelajah Malaysia menyemai semangat patriotik di kalangan rakyat jelata. Selepas itu kita akan berhadapan dengan hari raya. Maka ia dapat memberi peluang kepada BN untuk berkempen menemui rakyat.

Jadi kemungkinan besar pilihanraya diadakan bulan September sebelum rakyat Malaysia terbang ke Mekah menunaikan fardhu haji. PM perlu jelajah lagi ke seluruh Malaysia menemui rakyat memandangkan masih banyak tempat belum dilawatinya. PM sendirian dalam soal ini kerana pegawainya lebih sibuk nak jadi calon atau sibuk nak cari projek. Sebab itulah PM lantik Dr Jamaluddin Jarjis bekas Duta Besar Malaysia ke USA sebagai pemantau pilihanraya kerana beliau sudah tidak percaya lagi kepada pegawainya yang mudah dibeli dengan projek dan balak.


Najib mampu menang dua pertiga tetapi bukannya Najib bertanding di seluruh Malaysia. Najib cuma bertanding di parlimen Pekan. Maka dalam tempoh berkempen 10 hari tidak sempat PM mahu turun padang ke semua negeri, maka pilihanraya tidak perlu diadakan pada bulan Jun. Walaupun PM bergurau seolah-olah nak bubarkan parlimen esok ketika berucap di Bukit Jalil pada 11 Mei lalu, ia bukanlah pengukur untuk menang majoriti dua pertiga.Malah PM turut berkata biar ketua bahagian, ketua cawangan dan ahli-ahli UMNO bekerja bersungguh-sungguh pastikan kemenangan dua pertiga. Yang menjadi masalah sekarang, orang UMNO sendiri yang mengkhianati calon BN. Bila tak dapat jadi calon, mereka peteh keting. Inilah dilema UMNO yang menyebabkan lima negeri tumbang pada pilihanraya umum ke 12.

Tak guna bubar parlimen sekarang kalau BN gagal mendapat majoriti dua pertiga. Sebab itulah kita tak perlu tergopoh-gopoh mahu mengadakan pilihanraya umum.

No comments:

Post a Comment