VaultSafeUall

Sunday 12 June 2011

DAP PECAH MASYARAKAT ISLAM

Langkah kerajaan DAP Pulau Pinang melaksanakan ‘pilihan raya masjid’ sebagai kaedah baru pemilihan ahli jawatankuasa masjid di negeri itu adalah taktik parti berkenaan untuk meneruskan perpecahan dalam masyarakat Melayu serta melemahkan Islam secara terancang.

Ia juga bertujuan mempolitikkan institusi masjid kerana akan mewujudkan pelbagai kumpulan berbeza akibat daripada pemilihan itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata tindakan itu sengaja dibuat supaya perpecahan berterusan berkenaan akan membawa kepada lemahnya masyarakat Islam serta Melayu di negeri itu sekali gus memudahkan DAP merancang agenda mereka.

Beliau berkata, institusi agama sudah dijadikan alat politik, manakala kewujudan kumpulan berbeza dalam pemilihan itu akan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam konteks keagamaan.

“Bagi saya, ini tidak lain adalah agenda, cara atau taktik dirancang untuk memecah-belahkan serta meneruskan perpecahan masyarakat Islam sekali gus melemahkan mereka,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Parit Sulong, Johor, semalam.

Baru-baru ini, kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan pelaksanaan pilihan raya masjid di seluruh negeri berkenaan biarpun didakwa belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam.
Malah, pelbagai pihak membantah keputusan pelaksanaan pemilihan itu kerana didakwa mempunyai kesan negatif dan menimbulkan persengketaan, perpecahan selain mewujudkan budaya berpuak-puak hingga menjejaskan imej Islam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata umat Islam perlu kembali kepada konsep dalam Perlembagaan yang mana agama Islam itu diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Sebarang pindaan atau pelaksanaan kaedah baru berkaitan agama Islam tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin boleh dianggap menderhaka dan melanggar undang-undang seperti yang tertera dalam Perlembagaan,” katanya.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadot berkata, pengaruh politik dan kepartian akan menyebabkan masjid tidak lagi berfungsi dengan relevan.

“Jika ada tanda perpecahan, pergaduhan, perebutan kuasa dan pengaruh politik dapat dilihat dalam pemilihan jawatankuasanya maka ia tidak lagi sesuai untuk diteruskan,” katanya.

Di SEREMBAN, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar PAS agar menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu kerana ia menimbulkan kekeliruan banyak pihak.

“Kalau parti sudah sanggup dibuli DAP sehinggakan akhirnya PAS boleh menggugurkan perjuangan negara Islamnya, maka saya cabar PAS supaya gugurkan saja perkataan Islam daripada nama parti itu,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kuala Pilah.

No comments:

Post a Comment