VaultSafeUall

Saturday 11 June 2011

NILAI, MUTU, KEKUATAN AKAR UMBI UNTUK JANGKA HAYAT UMNO

Bagi melaksanakan cita-cita murni pertahanan dan ketahanan bansa Melayu perlu diingatkan kerana kita sedang menghampiri abad yang lebih mencabar berteraskan ilmu, nilai dan mutu.

Dalam abad ini kekuatan dan kejayaan bagi seseorang dan sesuatu bangsa itu akan diukur berasaskan penguasaan ilmu, sistem nilai,sistem nilai dan pencapaian mutu bukan lagi semata-mata kerana sijil dan ijazah yang diperolehinya.

Bagi sesebuah negara bukan semata-mata kerana keluaran negara kasarnya yang tinggi, kekuatan wang ringgit, kekuatan senjata atau kekuatan yang bersifat kosmetik. Oleh itu pertahanan dan ketahanan perlu diseiringkan.

Sememangnya kita memerlukan pertahanan kerana ia adalah kekuatan fizikal bangsa seperti kekuatan bilangan penduduk, ekonomi dan harta benda, teknologi dan ketenteraan. Walau bagaimanapun di masa yang sama ketahanan bangsa juga perlu kukuh kerana ia adalah kekuatan dalaman yang bersifat nilai dan mutu iaitu paksi kekuatan yang menjadi penyumbang kepada kejayaan yang lebih mantap.

Kejayaan yang mempunyai ketahanan dan yang bermuitu itu mestilah berpunca daripada ilmu, akal budi dan daya intelek, akidah yang mendokong kefahaman dan amalan, perilaku dan akhlak yang teguh, mulia dan murni serta jati diri yang beradab dan beradat. Lantaran itu akan tersemailah sistem nilai yang murni yang menjadi pegangan, panduan dan amalan hidup bangsa. Inilah yang akan menjamin kelangsungan sesuatu bangsa. Nilai dan mutu inilah juga yang akan menjadikan bangsa dan negara itu lebih terbilang dari kalangan yang cemerlang.

Justru itu UMNO juga perlu memiliki kekuatan demi kelangsungan bangsa Melayu. Selain dari pertahanan fizikal, parti juga memerlukan ketahanan nilai dan mutu kerana parti UMNO tidak boleh bergantung semata-mata kerana jumlah ahlinya ramai atau kerana UMNO adalah parti pemerintah yang sedang berkuasa. Ertinya UMNO tidak boleh selama-lamanya bersandar di atas kekuatan kerajaan yang kita dokong selama ini. Justru itu UMNO perlu memiliki kekuatan dan mutu yang tinggi daripada sumber ilmu, akal budi, aqidah dan jati diri terutamanya di kalangan ahlinya, kepimpinannya, barisan pelapisnya, organisasinya, rancangannya, programnya, gerak kerjanya dan tindakannya.

Adalah tidak memadai kerajaan sahaja yang bermutu tinggi sehingga berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan disegani di peringkat antarabangsa tetapi di masa yang sama kerajaan tidak bersandar di atas kekuatan parti jika parti sendiri tidak bermutu. Kita bimbang jika ditakdirkan kerajaan yang didokong oleh UMNO ini tidak berkuasa lagi maka apakah parti UMNO akan terus hidup jika ia ensiri tidak dapat berdiri di atas kekuatan dan mutunya sendiri. Apa yang lebih menggerunkan apakah kelangsungan bangsa dapat diteruskan jika mala petaka ini berlaku.

Di atas keinsafan inilah adalah wajar kita semua ahli UMNO di segenap peringkat bersama-sama meningkatkan ketahanan UMNO sampai ke akar umbi dengan membangunkan budaya yang memupuk ilmu, akal budi, akidah,a khlak dan jati diri.

Kita menerima hakikat bahawa sebagai satu gerakan massa terdapat kepelbagaian di dalam UMNO. UMNO didokong petani, buruh, nelayan, pekerja, pengurus, pengusaha, pemodal dan pentadbir. Setiap daripada mereka mempunyai peranan, tempat, sumbangan dan komitmen kepada perjuangan parti. Oleh itu untuk tujuan pertahanan dan ketahanan parti, kita perlu menggembeling segala keplbagaian ini di semua peringkat dalam parti kita.

Marilah kita mengambil ikhtibar kekuatan dan ketahanan akar umbi dari peristiwa yang digambarkan dalam al Quran, apabila diberikan kepada Nabi Sulaiman, bala tenteranya yang terdiri daripada manusia, jin dan haiwan dan mereka sentiasa berada dalam saf dan barisan yang tersusun rapi. Oleh kerana wujudnya keseragaman dan kesatuan di dalam organisasi, mereka sentiasa patuh dan taat kepada arahan. Kekuatan yang terdapat dalam bala tentera Nabi Sulaiman ini ialah mereka mempunyai matlamat yang satu iaitu mengabadikan diri kepada Allah.

Marilah kita memperkukuhkan bahawa penyertaaan kita dalam UMNO adalah merupakan satu ibadah, satu fardu kifayah dan tradisi kerelaan berjuang dan berkorban. Jika kita menjadikan perjuangan melalui wadah UMNO ini sebagai satu usaha untuk mengabdikan diri kepada Allah sudah tentu kita ikhlas dan komited kepada rakyat. Perlembagaan parti cukup jelas menyatakan bahawa falsafah perjuangan kita adalah untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam. Oleh itu dalam membina akar umbi ini diharap kita tetap kebal daripada ancaman nilai negatif dan kecetakan maruah politik yang boleh mengancam dan melemahkan rasa kesatuan, muafakat dan budaya kita sendiri.

Kita bersyukur kerana mutu akar umbi yang berasaskan kepada Islam, menyebabkan kita mewarisi dan memiliki tradisi kebijaksanaan bersama ataupun hikmat muafakat dalam menghadapi sebarang kebuntuan, perselisihan faham, perbezaan pendapat dan rasa tidak puas hati dalam tindak tanduk berorganisasi. Kita tidak boleh melupakan begitu sahaja peristiwa keruntuhan empayar Melaka.

Bahkan Perang Jamal adalah contoh yang menyedihkan dalam sejarah Islam. Kerana fitnah dan salah faham, Ali ialah sepupu Rasulullah dan Aisyah isteri tersayang Baginda terpaksa berperang sesama sendiri. Peristiwa ini telah mengorbankan ramai sahabat sehingga tercatat dalam sejarah Islam sebagai peristiwa Fitnatun Kubra iaitu fitnah yang paling besar dalam sejarah umat Islam.

Kita bersyukur ke hadrat Allah kerana melalui Islam, muafakat dan kebijaksanaan bersama, kita dapat menangani segala masalah utama dalam parti serta ketaksuban kepada individu dan keghairahan serta ketamakan kepada kekayaan kebendaan. 

No comments:

Post a Comment