VaultSafeUall

Monday 19 September 2011

MATINYA SEORANG PENDENDAM

Pagi ini dalam facebook, saya terkejut membaca fb Pena Klasik bahawa bekas ahli parlimen Dungun, Datuk Awang Jabar meninggal dunia terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kg Tuman, Marang pagi ini. Beliau dalam perjalanan menghadiri majlis TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dungun.

Beliau adalah bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan dan menjadi ahli parlimen Dungun selama empat penggal (1978-1990). Pada tahun 1995, beliau bertanding di kerusi DUN Bukit Besi. Pada tahun 1999, beliau gagal mempertahankan kerusi DUN Bukit Besi yang menyebabkan kerajaan BN Terengganu tumbang.

Beliau adalah bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia ketika Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pemuda. Beliau juga disebut-sebut sebagai MB Terengganu yang menyebabkan Tan Sri Wan Mokhtar amat mencemburuinya.

Pada tahun 1993, saya menulis buku Dilemma Yusof Noor yang menyebut beliau adalah seorang calon MB Terengganu selepas Wan Mokhtar. Dia marahi saya kerana kononnya beliau mengugut Wan Mokhtar jika beliau tidak bertanding pada pilihanraya umum 1990, Ustaz Ibrahim Azmi sudah hubunginya untuk jadi calon Semangat 46 di Dungun.

Rupa-rupanya orang kelulusan agama kuat dendamnya. Sampai sekarang setiap kali terserempak dengannya, dia akan ungkit buku itu yang sudah 18 tahun berada di pasaran. Bila dia marahi saya, saya senyap saja kerana saya sudah tahu dendamnya tidak pernah padam.

Ketika tsunami 1999, saya turut berada di rumah Wan Mokhtar di Chukai menerima berita kekalahan BN. Wan Mokhtar tak sangka Awang Jabar kalah tipis di Bukit Besi. Wan Mokhtar menaruh harapan yang tinggi BN menang di Bukit Besi.

Saya tak pernah berdendam dengan Awang Jabar walaupun beliau pernah marahi saya di hadapan orang ramai di Dungun. Saya maafkan dia. Alfatihah buat beliau.





No comments:

Post a Comment