VaultSafeUall

Wednesday 7 December 2011

BUKU ANTI NAJIB DISEBAR


Setiap kali perhimpunan agung Umno berlangsung, pelbagai buku politik diterbitkan. Ada yang dibeli secara pukal untuk disebarkan kepada para perwakilan Umno. Tahun ini tidak ketinggalan dua buah buku politik diterbitkan menjelang perhimpunan agung UMNO.

Pertama, buku "Kesilapan-Kesilapan Najib" yang ditulis oleh bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju, Shahbuddin Husin. Ini adalah buku kedua beliau selepas "Najib PM Terakhir". Manakala buku kedua ialah "Konspirasi Pak Lah- Susilo" karya S.H.Alattas.

Menurut Shahbuddin, cetakan pertama buku "Kesilapan-Kesilapan Najib" sebanyak 10,000 naskhah sudah habis dijual. Kini 10,000 buku itu s sedang dicetak kali kedua.

Yang lucunya nama  Shahbuddin disalahertikan dengan seorang lagi Shahbuddin  yang juga ahli Umno Wangsa Maju. Shahbuddin yang dimaksudkan itu ialah Shahbuddin Embun. Apabila buku sulung Shahbudin Husin berada di pasaran, ramai pemimpin Umno menelefon Shahbudin Embun memarahinya kerana mengkritik Najib sedangkan yang menulis buku itu adalah Shahbuddin Husin.

Ketika ditemui di PWTC petang ini, Shahbuddin Embun berkata gara-gara buku Shahbuddin Hussin, dia pula yang kena maki oleh ahli-ahli Umno yang menyanjung Najib.

Beliau kesal buku itu ditulis oleh seorang bekas pemimpin bahagian. Katanya, kalau ahli UMNO bebas mengkritik pucuk pimpinan, siapa yang mahu menghormati pemimpin Umno.

"Penerbitan buku tersebut memberi peluru kepada pembangkang untuk menembak BN pada pilihan raya umum," kata Shahbuddin Embun.

Bagaimanapun, Shahbuddin Husin menolak dakwaan ini yang mengatakan sebagai penulis, dia bebas menegur pucuk pimpinan kerana sebagai ahli Umno dia wajib menegur Umno jika hala tuju Umno tidak jelas dan kabur.

"Saya tidak menduga buku ini mendapat sambutan dari ahli-ahli politik yang mahu mengetahui apa itu kesilapan Najib selaku Perdana Menteri dan Presuden UMNO," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ditanya adakah beliau diupah oleh mana-mana pihak untuk menulis buku tersebut, Shahbuddin menjelaskan bahawa beliau menulis atas kesedaran menegur Umno untuk kebaikan orang Melayu.

"Saya bukanlah penulis upahan. Saya menulis atas kesedaran saya untuk menegur Najib supaya Umno terus relevan kepada orang Melayu," katanya lagi. 

Katanya, Umno kini sudah jauh lari dari landasan perjuangan.

"Hala tuju Najib tidak sama dengan ayahandanya, Tun Razak yang mementingkan kedudukan orang Melayu. Najib yang menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan yang banyak membantu orang Melayu. Sebaliknya dasar 1Malaysia Najib tidak menguntungkan orang Melayu," katanya lagi.

Beliau yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju kesal kerana pemuda di zaman najib tidak berani bersuara untuk kepentingan orang Melayu. Sebab itulah, katanya, Perkasa sudah mengambilalih peranan Umno.

Katanya lagi, beliau tidak kesah jika Umno memecatnya dari parti kerana sebagai ahli Umno beliau berhak menegur pucuk pimpinan Umno.

Sementara itu buku "Konspirasi Pak Lah-Susilo" merupakan karya Pak Habib yang ke 97. Nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai penulis buku politik yang antaranya telah menjatuhkan Tan Sri Musa Hitam dari kerusi Timbalan Perdana Menteri.

Buku terbaru Pak Habib ini turut menghentam Najib sambil memberi akronim baru BN sebagai "Bini Najib". Manakala NKRA pula disifatkan sebagai "Najib Kerja Rosmah Arah". Najib dituduh sebagai suami yang dayus kerana takut kepada Rosmah. Kalau di zaman Pak Lah, Pak Lah tunduk kepada menantunya, Khairy Jamaluddin kini di zaman Najib, Najib pula alah kepada isterinya.

Kritikan Pak Habib terhadap Najib lebih berbisa dari buku Shahbuddin Hussin. Beliau menulis dengan bahasa pasar tetapi pembaca suka stail Pak Habib yang banyak menyiarkan keterangan gambar (caption) yang berbisa pada setiap gambar yang terdapat dalam bukunya itu.

Di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, setiap kali perhimpunan agung Umno berlangsung, pelbagai buku politik bebas dijual. Sejak zaman Pak Lah jualan buku politik telah diharamkan di PWTC pada musim perhimpunan agung Umno. Tradisi ini diteruskan di zaman Najib di mana penulis buku politik tidak dibenarkan menjual buku politik.

"Saya tak kesah sama ada dihalau oleh pengawal keselamatan PWTC, saya tetap akan menjual buku saya di PWTC supaya ahli-ahli Umno dapat mengetahui siapa Najib yang sebenarnya," kata Pak Habib.

Pak Habib seorang penulis yang berani. Menteri mana yang tidak kenal Pak Habib. Menceritakan pengalamannya menulis buku Perang Kuala Linggi yang menceritakan krisis politik Melaka, beliau hairan Naib Presiden Umno ketika itu, Ghafar Baba tidak memarahinya sedangkan buku itu mengkritik Ghafar dengan teruk yang mana beliau menjadi dalang krisis politk Melaka  pada tahun 1977. Rupa-rupanya orang Ghafar sudah membeli semua buku itu dan membuangnya ke  dalam sungai.Ghafar yang berjiwa besar tetap bersalam dengan Pak Habib yang menghentamnya.

Manakala sebuah lagi buku politik "Sempatkah Muhyiddin Jadi PM?" karya Azwan Adli tidak sempat dicetak menjelang perhimpunan agung Umno ini. Menurut penerbitnya, Shamsul Azli Mamat, beliau tidak sempat mencetaknya apabila pejabatnya dipecah masuk pencuri yang membawa lari komputer yang mengandungi bahan-bahan grafik buku tersebut.Kini polis sedang menyiasat siapa yang memecah masuk pejabat penerbit buku itu.

No comments:

Post a Comment