VaultSafeUall

Friday 16 December 2011

PAS BERMIMPI TAWAN TERENGGANU?


Terengganu akan menjadi rebutan utama di antara BN dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang. Apatah lagi kini PAS sudah menguasai lapan kerusi pada pilihanraya umum ke 12 lalu. Kerusi yang dimenangi PAS ialah Bukit Tunggal,Wakaf Mempelam, Ladang, Batu Buruk, Bukit payong, Ru Rendang, Manir dan Sura.

Di antara lapan kerusi PAS ini, PAS hanya menang selesa di empat kerusi sahaja iaitu Wakaf Mempelam (Wahid Endut), Batu Buruk (Dr Syed Azman Syed Nawawi), Ru Rendang (Datuk Seri Haji Hadi Awang) dan Sura (Wan Hassan Ramli) manakala empat kerusi lagi Bukit Tunggal, Ladang, Manir dan Bukit Payong PAS menang kurang dari majoriti 1,000 undi.

PAS memerlukan sembilan kerusi lagi untuk menubuhkan kerajaan simple majoriti (17 kerusi). Lapan kerusi BN yang menang dengan majoriti kurang dari 1,000 undi mungkin dapat ditawan PAS jika BN gagal menyelesaikan masalah pemilihan calon. Pemerhati politik berpendapat bahawa pada tahun 1999 BN tumbang di Terengganu bukan kerana PAS kuat tetapi kerana faktor dalaman Umno sendiri yang menyebabkan orang Umno memangkah PAS.

Lapan kerusi BN yang kritikal itu ialah Jabi, Tepuh, Teluk Pasu, Alor Limbat, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Paka dan Chukai. Jika PAS dapat mempertahankan lapan kerusi yang sedia ada dan dapat menawan lapan kerusi BN yang kritikal ini, maka PAS memerlukan satu lagi kerusi untuk membentuk kerajaan simple majoriti. Satu lagi kerusi dari mana? Mungkin dari DUN Bandar yang diwakili MCA. Calon BN,Datuk Toh Chin Yaw menang dengan majoriti 1,142 undi. Jika orang Cina mengundi pembangkang maka BN tumbang di Bandar dan PAS dapat menubuhkan kerajaan simple majoriti. Pada tahun 1999, calon PAS, Azmi Lop Ahmad pernah menewaskan calon BN yang sama di kerusi Bandar.

Nampaknya Pesuruhjaya PAS Terengganu, Wahid Endut sudah bersedia untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru selepas PRU 13 nanti jika BN gagal menyelesaikan masalah dalaman.

Sejauh mana faktor  orang Datuk Seri Idris Jusoh versus orang Datuk Seri Ahmad Said akan menyebabkan  BN tumbang? Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad, Ahmad Said tidak perlu membuang semua orang Idris sebagai calon.

Katanya, jika Alias Abdullah yang lantang menyokong Idris tidak dicalonkan, maka kerusi Alor Limbat yang menang dengan majoriti 799 undi pada tahun 2008 akan jatuh ke tangan PAS.

"Kita mahu calon boleh menang. Oleh itu bila pilih calon, jangan kira dia orang Idris ke atau orang Ahmad Said," katanya ketika ditemui di The Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut sumber, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menapis senarai calon dari Terengganu seteliti mungkin supaya tidak ada sebarang balas dendam dari pucuk pimpinan negeri terhadap orang Idris Jusoh.

"Kita mahu menang. Jadi semua calon adalah orang Umno dan bukan orang Idris atau orang Ahmad," kata sumber itu lagi. Sumber itu yakin Perdana Menteri mendapat maklumat dari pelbagai sumber sebelum membuat keputusan sesiapa yang layak jadi calon di sesuatu kerusi DUN.

Menteri Besar, Ahmad Said  sudah mengingatkan bahawa senarai calon BN belum diputuskan lagi oleh Badan Perhubungan Umno Terengganu.

"Bagi yang nak jadi calon, rajin-rajinlah turun padang. Mereka tak perlu lobi jadi calon kerana rakyat tahu siapa yang mereka mahu jadi wakil rakyat mereka," kata beliau di majlis perjumpaan dengan semua ahli parlimen dan ADUN Terengganu baru-baru ini.

Dapatkah BN mempertahankan Terengganu? Atau adakah tsunami 1999 akan melanda Terengganu sekali lagi? Jawapannya bergantung pada hari penamaan calon siapa yang jadi calon BN. Rakyat sudah tentu tidak mahu lagi calon yang sudah lebih dua penggal yang membuat rumah besar seperti heboh di internet betapa besarnya rumah tiga ADUN BN baru-baru ini. Bagaimana pula empat ADUN di Setiu yang memboikot majlis Tan Sri Muhyiddin Yassin di Setiu pada tahun lepas? Wajarkah mereka dicalonkan semula iaitu Ramlan, Khazan, Halim dan Ashaari Idris?

Inilah dilemma Ahmad Said dalam memilih calon. Salah pilih calon, BN akan kecundang lagi di Terengganu kerana rakyat Terengganu lebih melihat pada  calon yang bertanding daripada  parti.

No comments:

Post a Comment