Exco hal ehwal agama Islam Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
berkata, PAS tidak perlu menang di peringkat parlimen untuk membolehkan
parti itu melaksanakan hudud.
Sebaliknya, Umno hanya perlu
memberi laluan untuk membolehkan undang-undang itu dilaksanakan, katanya
dalam satu sidang media di Shah Alam hari ini.
"Sekarang ini
kita tidak perlu menang di peringkat parlimen. Kalau Umno bagi laluan
sekarang pun kita boleh pinda (akta yang menyekat pelaksanaan hudud).
Tak ada masalah," katanya.
Pindaan berkenaan adalah ke atas Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), 1998 yang sekadar
memperuntukkan kuasa kepada mahkamah berkenaan untuk menjatuhkan hukuman
penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
"Itu yang
kita minta dengan penuh rendah hati kepada pemimpin BN supaya
menimbangkan hasrat kita.
"Kita tidak perlu tunggu pilihan raya.
Kalau sekarang dia bagi laluan, tidak ada masalah," katanya lagi.
Terdahulu, dalam wacana
"Hudud: Dilema dan Pelaksanaannya" itu, Mohd Amar berkata masalah yang
dihadapi PAS sekarang ialah kerajaan BN yang tiada tekad politik untuk
menjayakan hudud.
"(Sedangkan) kita bukan minta untuk laksanakan
di Malaysia tetapi supaya buka laluan supaya boleh dilaksanakan di
Kelantan," katanya.
Tanpa pindaan
perlembagaan
Malah, kerajaan negeri juga telahpun
memulakan kajian untuk membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan
tanpa pindaan perlembagaan.
Satu jawatankuasa teknikal telah
dibentuk kerajaan negeri bagi usaha itu dan hasilnya akan dikemukakan
kepada kerajaan persekutuan, katanya lagi.
Bagaimanapun, belum
ada sebarang pertemuan diadakan di antara menteri besar dan perdana
menteri untuk membincangkan perkara itu, katanya lagi.
"Kita nak
tengok penemuan oleh jawatankuasa teknikal. Bila jawatankuasa dah
(kenalpasti masalah), masa itu baru Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat) boleh jumpa dan berbincang dengan perdana menteri (Datuk Seri Najib
Razak).
"Sekarang ini belum ada (perkara) untuk bincang nak
jumpa buat apa?" katanya lagi dalam sidang media tersebut.
Jelasnya,
Kelantan mengambil sikap berhati-hati dalam isu ini kerana telah
diancam oleh kerajaan persekutuan pada 1993 apabila PAS menyatakan
kesediaannya untuk melaksanakan undang-undang tersebut.
Katanya,
perdana menteri pada waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengancam
untuk mengambilalih kerajaan Kelantan melalui undang-undang darurat.
Ridhuan Tee belum nampak kesediaan
"Maka
kita bimbang juga. Kita pernah ada pengalaman dengan Umno mereka pernah
'memagerankan' Kelantan tahun 1978 dulu.
"Sebab itu kita freekan
gear. Tapi kita tak matikan enjin. Sebab itu kita rasa lepas
pilihan raya itu lampu akan jadi hijau," katanya lagi.
Seorang lagi
ahli panel dalam majlis wacana berkenaan, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee
Abdullah (kanan) turut mengulas mengenai peranan kerajaan
pusat dalam pelaksanaan hudud.
Namun, Mohd Ridhuan berkata beliau
masih belum nampak kesediaan untuk usaha itu "berdasarkan kepada
perkembangan dan ucapan-ucapan (pemimpin BN).
"Tapi kalau
bertanya kepada individu itu, saya rasa tidak ada yang menolak dengan
jelas hukum Islam ini.
"Saya yakin orang Islam yang mengucap
syahadah ini menerima undang-undang ini. Cuma mungkin ada kekangan
tertentu, maka timbullah kenyataan sedemikian," katanya lagi dalam
sidang media sama.
Seorang lagi anggota panel dalam majis wacana
berkenaan ialah presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd Isa Abd
Ralip.
Ulasan saya, kita tunggu omen DAP tentang hasrat PAS untuk laksanakan hukum hudud di Kelantan tanpa menunggu menang kerusi parlimen di Malaysia. Sehingga ini Karpal Singh belum lagi buat sebarang ulasan.
Adakah hukum hudud ini akan menyebabkan DAP keluar dari Pakatan Rakyat? Kalau Pakatan Rakyat berpecah menjelang pilihanraya umum ini ia akan memberi kelebihan kepada BN untuk menang besar dalam pilihanraya.
No comments:
Post a Comment