Penonjolan lebih banyak muka baru selain mengekalkan calon berpengalaman
yang masih mampu menang mungkin menjadi elemen penambahbaikan paling
relevan dalam formula pengagihan kerusi bagi parti-parti komponen
Barisan Nasional yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
selaku Pengerusi BN baru-baru ini.
Secara logiknya,
penambahbaikan itu akan menyaksikan perubahan dari segi bilangan
kemasukan muka baru sebagai calon yang lebih banyak, selari dengan
Program Transformasi Politik yang pelopori Najib, sekaligus memberi
petanda kesediaan pimpinan sedia ada untuk mematangkan golongan pelapis.
Menurut
pensyarah sains politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof
Madya Shahrudin Badarudin, formula itu bagaimanapun tidak akan lari jauh
daripada kaedah pembahagian kerusi yang telah digunapakai sekian lama,
kerana itu simbol dan teras kekuatan muafakat antara parti komponen BN.
Beliau
berkata Najib boleh mengurangkan atau menambah kerusi kepada mana-mana
parti atas teras 'mampu menang' itu tetapi tidak akan mengambil risiko
mengurangkan atau menambah terlalu banyak kerusi bagi sesuatu parti
walaupun ini boleh berlaku jika semua pihak berkompromi.
"Dari
segi logik muafakat kuasa, dia takkan ambil risiko. Parti-parti
komponen akan dapat hampir sama banyak seperti pilihan raya umum yang
lepas, tetapi isunya ialah di mana akan berlaku pertukaran kerusi,"
katanya kepada Bernama hari ini.
Shahrudin berkata terdapat
kemungkinan besar peratusan bilangan muka baru akan bertambah bagi
memastikan mereka bersedia untuk dijadikan sandaran sebagai pelapis
untuk menggantikan tokoh-tokoh yang telah lama berkhidmat.
Beliau
berkata berdasarkan beberapa pilihan raya kecil yang berlaku selepas
pilihan raya umum yang lepas, kemungkinan besar calon-calon muka baru
ini akan dinilai dari segi umur dan kesihatan, sebagai satu daripada
kriteria memilih calon berprestasi tinggi.
"Kriteria ini
penting supaya tidak mengganggu kelancaran pentadbiran. Kita tak nafikan
kematian itu kuasa Allah tetapi adalah penting bagi Najib untuk menilai
faktor-faktor ini bagi mengelak pilihan raya kecil," katanya.
Mengenai
kemungkinan calon payung terjun, Shahrudin berkata, mereka ini
kadangkala diperlukan jika kawasan berkenaan panas akibat perbalahan
dalaman.
"Dari sudut calon payung terjun, akan ada
pertelagahan baik dari kalangan parti komponen mahupun di dalam sesuatu
parti itu sendiri mengenai siapa yang harus dicalonkan di dalam kawasan
parlimen dan dewan undangan negeri, maka akan ada calon berpotensi
menang yang 'dipayungterjunkan' dari kawasan luar dan bukan ahli
politik," katanya.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
pernah berkata calon payung terjun masih relevan dalam meraih sokongan
dan memastikan kemenangan, terutama sekali ketika landskap politik yang
kian mencabar.
Beliau berkata calon payung terjun dari
kalangan berpendidikan tinggi dan berpengalaman mampu memikul
tanggungjawab melaksanakan tugas dengan berkesan terutamanya membantu
kerajaan melicinkan usaha pembangunan.
"Kita perlu calon
payung terjun dan ia tidak boleh ditolak sama sekali. Sebagai contoh,
semasa saya menjadi perdana menteri, Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri
Kewangan) diangkat sebagai calon 'bidan terjun' kerana kita sedar dengan
kemampuannya," kata Dr Mahathir.
Menyokong kenyataan
tersebut, anggota pemuda Umno dari Hulu Klang yang hanya mahu dikenali
sebagai Zaidi berkata, tidak dinafikan pertelagahan boleh menjadi antara
faktor kejatuhan parti.
"Maka kita dapat lihat pada pilihan
raya kecil, cubaan berani Datuk Seri Najib meletakkan calon yang muda,
berpendidikan tinggi serta mempunyai latar belakang yang bersih,
sehingga akhirnya membuahkan hasil apabila menerima sokongan padu
masyarakat setempat," katanya.
Bagi anggota Majlis Kerja
Tertinggi Belia 4B Badrul Hisham Badrudin pula, muka baru harus diberi
lebih pertimbangan jika diambil kira trend beberapa pilihan raya kecil
yang lepas.
Beliau berkata, trend itu turut dapat dilihat
dalam pakatan pembangkang, sehingga ada antara mereka mampu menjadi ahli
Parlimen dalam usia yang cukup muda.
"Sewaktu pilihan raya
kecil yang lepas, calon-calon muda ini mendapat sokongan rakyat setempat
kerana mereka mempunyai kredibiliti dan juga memenuhi kriteria sebagai
'winnable candidate' (calon mampu menang).
"Sama ada
pembaharuan ini dapat diterima penuh dengan hati terbuka oleh pemimpin
atasan tak kira dari mana-mana parti komponen, saranan PM berulangkali
mengingatkan bahawa kita harus bersatu dan jangan sabotaj sesiapa saja
yang akan dicalonkan," katanya.
Badrul Hisham melihat formula
yang ditambah baik oleh Najib itu kelak mampu merangsang generasi muda
lebih aktif mencurah bakti kepada masyarakat dan dapat menyaksikan
hakikat bahawa BN siap sedia membuka peluang lebih besar kepada mereka
dalam proses transformasi negara.
Ulasan saya, bila BN mahu letak calon payung terjun berhati-hatilah kerana bukan mudah mahu letak calon yang tidak dikenali oleh orang ramai kecuali calon itu sudah popular dalam NGO maka mudahlah dia diterima oleh ahli BN di kawasn berkenaaan.
Pada tahun 1982, Anwar Ibrahim dianggap calon payung terjun diletakkan sebagai calon BN di Permatang Pauh untuk merampas kembali kerusi itu dari tangan PAS. Tetapi Anwar sudah dikenali umum sebagai Presiden ABIM. Maka orang ramai tidak ada masalah untuk mengenalinya. Jika letak PTD atau PTN yang tidak dikenali umum memang agak sukar untuk BN menang.
Kita setuju jika tidak letak calon payung terjun maka BN khususnya UMNO akan ketandusan calon dari pegawai kerajaan kerana mereka terikat dengan perintah am yang tidak membolehkan mereka aktif dalam politik. Kita perlu juga pegawai kerajaan bertanding dalam pilihanraya tetapi pegawai itu kena turun padang dari awal supaya orang kampung kenali dia. Baru nak turun dekat pilihanraya sudah terlambat apatah lagi jika dia jadi pegawai kerajaan, dia sombong dengan rakyat.
Ahli-ahli UMNO yang sudah lama pegang jawatan di peringkat Bahagian marah bila calon diambil dari kalangan luar. Kita perlu calon payung terjun tetapi biarlah calon itu bergaul dengan orang ramai lima tahun sebelum pilihanraya akan datang. Contohnya, selepas pilihanraya umum 2008, dia sudah bergerak ke kawasan itu melawat atas nama jabatannya buat program, kursus, seminar. Kalau last minute baru nak turun calon payung terjun itu akan kalah kerana ia bukan sahaja dipancang oleh ahli jawatankuasa bahagian dan ketua cawangan malah para pengundi akan memancungnya.
No comments:
Post a Comment