Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang adalah seorang tenang,
bersikap sederhana dan yang paling penting, bebas dari sebarang pengaruh
politik.
Laporan tahunan beliau adalah “senjata” yang kerap
digunakan oleh pembangkang untuk menyerang BN di atas isu-isu ketirisan
dan pembaziran di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Namun tidak ada pihak
di dalam BN yang mempertikaikan kewibawaan beliau, mahupun
kecenderungan politiknya.
Walau pedas mana pun teguran dan
pendedahan dibuat, laporan Ketua Audit Negara saban tahun diterima
dengan baik dan tanpa masalah oleh Putrajaya.
Justeru, amat
mengejut dan mendukacitakan apabila Ambrin menjadi sasaran Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Selasa lalu, semata-mata kerana
laporan terbaru Jabatan Audit Negara mendedahkan Kumpulan Darul Ehsan
Berhad (KDEB) menanggung kerugian RM122 juta ringgit tahun 2009.
Rumusan
Ambrin bahawa kerugian antara lain disebabkan KDEB terpaksa menanggung
kos program air percuma 20 meter padu untuk rakyat Selangor mengundang
kritikan terbuka Khalid terhadap Ketua Audit Negara itu.
“Kerajaan
(negeri) faham jika polisi pemberian terus kepada rakyat ini janggal
kepada Ketua Audit Negara dan agensi-agensi kerajaan persekutuan yang
lain,” Khalid dipetik berkata dalam satu kenyataan.
Tuduhan Khalid bahawa
Ambrin “janggal” dengan dasar-dasar kerajaan pimpinan beliau, bukan
sahaja tidak professional dan bersifat bongkak, malah tidak mencerminkan
kebertanggungjawaban seorang pemimpin negeri.
Ungkapan janggal
itu membawa maksud sama ada Ambrin tidak arif dalam memperinci penyata
kewangan KDEB atau pun beliau tidak memahami pengurusan kewangan
syarikat itu.
Lebih buruk jika Khalid cuba memberi gambaran
kononya Ambrin tidak menggunakan standard operation prosedur (SOP) dalam
menjalankan tugas beliau.
KDEB adalah syarikat pelaburan milik
penuh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Khalid selaku Menteri
Besar.
Dengan modal berbayar lebih RM260 juta dan jumlah pelaburan
beratus juta ringgit dalam pelbagai sektor, KDEB menjadi pengukur
dasar-dasar pengurusan dan ketelusan yang dicanang oleh Menteri Besar
dan barisan exconya.
Selepas mencatat
keuntungan 2007-2008, prestasi KDEB berubah suram apabila ia menanggung
kerugian RM122 juta tahun 2009.
Anak-anak syarikatnya KDEB
menanggung kerugian antara RM1.08 juta sehingga RM139.23 juta, menurut
akaun syarikat itu. Jumlah perbelanjaan jauh melebihi pendapatan.
Perbelanjaan
yang paling besar ditanggung KDEB adalah pembiayaan skim air percuma
sebanyak RM131.47 juta pada tahun 2009.
Selain itu, perbelanjaan
penajaan gaji Persatuan Bola Sepak Selangor yang tinggi pada tahun 2009
yang berjumlah RM4.11 juta turut menjadi faktor KDEB mengalami kerugian.
Syarikat
pelaburan itu yang dipengerusikan oleh Khalid juga menanggung pelbagai
belanja am dan pentadbiran yang tinggi seperti gaji dan upah,
perbelanjaan peruntukan susut nilai, yuran guaman, duti setem, bonus,
manfaat percutian dan pelbagai belanja yang berjumlah RM10.12 juta.
Khalid nampaknya
begitu sensitif apabila kerugian syarikat emas KDEB dikaitkan dengan
program air percuma, justeru beliau mengkritik Amrin secara licik namun
tajam.
Namun hakikat ialah Khalid tidak menjawab isu-isu yang
dibangkitkan oleh Amrin mengenai program air percuma. Contohnya:
Mengapakah
KDEB menanggung hutang pinjaman RM200 juta daripada kerajaan negeri
bagi membiayai program air percuma itu. Program itu seharusnya dibiayai
terus oleh Perbendaharaan Negeri setelah diluluskan oleh Dewan Negeri
Selangor.
“Pinjaman KDEB daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk
membayar kos Program Air Percuma adalah tidak wajar kerana KDEB perlu
berhutang dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan berkenaan,” kata
Amrin dalam laporannya.
Kenyataan Khalid bahawa tidak timbul soal
KDEB rugi akibat program air percuma kerana, menurut beliau, skim itu
dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri adalah mengelirukan.
Jika itu alasan Khalid, beliau harus menjelaskan kenapa
Kerajaan Negeri meluluskan pinjaman RM200 juta dengan faedah empat
peratus setahun untuk KDEB membayar Syabas.
Jika benar kerajaan
negeri memulangkan hasilnya kepada rakyat, kenapa KDEB perlu berhutang
kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program itu?
Jelas ada
sesuatu yang janggal di sini. Namun yang patut membuat penjelasan ialah
Khalid dan bukannya Ambrin.
Satu lagi persoalan, jika program air
percuma bukan antara punca kerugian KDEB, Khalid selaku pengerusi
syarikat harus memperinci faktor yang menyumbang kepada keadaan itu.
Beliau
perlu menjelaskan kenapa KDEB menanggung perbelanjaan yang semakin
meningkat termasuk untuk bayaran bonus dan manfaat percutian sedangkan
prestasi syarikat begitu muram pada tahun 2009.
Malangnya, Khalid
tidak berbuat demikian dalam kenyataan medianya, Selasa lalu.
Sebaliknya
beliau hanya sekadar berpaut kepada slogan lama bahawa pengurusan
kerajaan negeri “telus dan mengikut prosedur yang diperuntukkan.”
Janggal
– prestasi sebuah syarikat seperti KDEB boleh merudum begitu cepat,
sekali pun menerima sentuhan Khalid dan pengalaman luasnya di sektor
korporat.
Ya, Janggal sekali.
Ulasan saya, ini bermakna MB Selangor tidak terbuka sifatnya. Ketua Audit Negara bukan orang politik. Justru itu teguran beliau perlulah diambil secara serius. Malah setiap kementerian yang ditegur akan ambil tindakan untuk baiki lagi prestasi mereka untuk tahun seterusnya.Jadi janganlah anggap teguran itu untuk menjatuhkan sesiapa.
No comments:
Post a Comment