VaultSafeUall

Wednesday 23 November 2011

MASALAH DALAMAN MASIH WUJUD


Masalah dalaman yang diakui oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang masih wujud. Setiap kali pilihan raya umum menjelang, masalah ini sentiasa timbul.

 Perebutan calon di kalangan ahli jawatan kuasa Umno bahagian menyebabkan mereka rela sabotaj calon yang tidak digemari.Biarpun Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin sendiri telah berulang kali menasihatkan ahli-ahli Umno supaya mengelakkan masalah dalaman untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, tetapi nasihat tinggal nasihat sahaja.

Mereka lebih rela melihat BN kalah bila mereka tidak dicalonkan. Sampai bila isu ini berterusan? Blog ini sempat menemui beberapa ketua bahagian Umno untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai masalah dalaman

Menurut ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar, masalah dalaman merupakan halangan besar untuk memenangi pilihan raya umum ke 13.

Katanya, walau bagaimana pun masih belum terlambat untuk memperbetulkan permasalahan yang berlaku dengan syarat ahli-ahli Umno kembali ke perjuangan yang sebenarnya.

Bagi Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, jika ahli Umno meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri, perkara seperti ini tidak akan berlaku.

"Apa makna menjadi calon kalau calon itu kalah? Sebab itu kita perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan yang mengambil kira pelbagai aspek sebelum mengumumkan seseorang itu sebagai calon BN," katanya.

Beliau berharap pada pilihanraya umum nanti semua ahli UMNO bekerja kuat untuk memenangkan parti tanpa mengambil kira siapa yang jadi calon.

Ketua UMNO Segambut, Datuk Kamaruddin Ambok berkata masalah berpuak-puak dalam Umno bukanlah perkara baru. Setiap kali pemilihan parti akan ada puak yang menyokong atau menentang ketua bahagian.

"Yang menjadi masalah kepada Umno bila pihak yang kalah tidak mahu menerima pihak yang menang. Pada masa yang sama puak yang menang menyisihkan puak yang kalah maka perpecahan dalam parti semakin melarat," katanya.

Justru itu, katanya, kita perlu berpegang kepada pesanan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa yang menang bukan menang semua dan yang kalah bukan kalah semua.

"Mereka hendaklah merapatkan perpaduan sebaik-baik saja keputusan pemilihan parti diumumkan. Janganlah dekat pilihan raya baru kita cari yang kalah kerana luka sudah dalam," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment