VaultSafeUall

Wednesday 23 November 2011

JAWATANKUASA KARIAH DIMINTA TERUS BERI SOKONGAN


Jawatan kuasa kariah masjid diminta terus beri sokongan kepada masjid walaupun mereka tidak lagi memegang jawatan selepas 31 Disember ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mereka yang tidak pegang jawatan janganlah terus merajuk dan langsung tidak datang ke masjid.

"Pada masa yang sama ahli jawatan kuasa kariah yang baru janganlah terus meminggirkan ahli jawatan kuasa lama yang tidak pegang jawatan lagi," katanya di majlis pertemuan dengan semua ahli jawatankuasa kariah masjid di seluruh Wilayah Persekutuan di ibu pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini. Seramai 11 ahli jawatankuasa kariah dari 70 buah masjid dan 80 surau jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan menghadiri majlis tersebut.

Katanya, pernah berlaku bila ahli jawatankuasa lama sudah tidak pegang jawatan, mereka tidak dijemput ke majlis anjuran masjid.

"Ini amat mendukacitakan kerana mereka (yang baru dan lama) perlu berganding bahu memakmurkan masjid," katanya lagi.

Ahli jawatan kuasa kariah sekarang dilantik selama dua tahun dari 1 Januari 2010 dan akan berakhir pada 31 Disember ini. Mulai 1 Januari 2012, perlantikan baru akan dibuat yang menyebabkan ramai yang akan digugurkan sebagai ahli jawatan kuasa kariah.

Beliau mahu masjid dijadikan tempat menyatukan umat selain daripada tempat ibadat yang penuh dengan ketenangan. Di majlis yang sama beliau mengumumkan sagu hati kepada 1650 orang ahli jawatan kuasa kariah sebanyak RM821,100.00 sebagai tanda terima kasih kerajaan kepada perkhidmatan mereka selama dua tahun. Setiap orang dijangka mendapat sagu hati sebanyak RM497.00.

Jamil Khir juga puas hati kerana tidak timbul sebarang kontroversi di semua masjid di Wilayah Persekutuan seperti yang berlaku di negeri lain yang mana ada penceramah luar mengambil kesempatan berceramah politik di dalam masjid.

Di majlis itu juga, beliau melancarkan 13 buah van serbaguna yang mana 10 buah van dibeli dengan harga RM1.2 juta oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) manakala tiga lagi disumbang oleh syarikat korporat.

Van serbaguna ini boleh diguna sebagai van jenazah, ambulan dan juga sebagai van penumpang.

"Ini adalah inovasi kepada van jenazah. Dalam satu bulan orang mati tidak ramai, maka bila tiada kematian, van itu boleh digunakan kakitangan masjid untuk pergi mesyuarat atau menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta juga dijadikan ambulan bila ada kecemasan," kata beliau yang mana idea 3 dalam 1 itu adalah cetusan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, oleh kerana van jenazah jarang digunakan, akhirnya bateri van rosak dan bila ada kematian terpaksa sewa van lain, maka dengan pelbagai guna van ini van dapat dimaksimumkan penggunaannya.

No comments:

Post a Comment