VaultSafeUall

Wednesday 30 November 2011

KHAIRY KENA SABOTAJ?


Semalam pemuda, wanita dan puteri Umno sudah bersidang. Sepanjang pemerhatian saya di persidangan pemuda, nampak sangat perwakilan pemuda tidak berdisiplin. Ketika pemuda berehat selama 30 minit selepas ketuanya, Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan dasar, pengerusi tetap, Datuk Fatah Abdullah terpaksa menunggu lama para perwakilan masuk ke dewan sebelum perbahasan dimulakan.

Ini yang melemahkan pemuda. Bagaimana mahu menghadapi pilihan raya sedangkan ketetapan waktu (punctuality) masih tidak dititikberatkan oleh para perwakilan. Yang menyedihkan para pemerhati pemuda tidak dapat menyaksikan ucapan dasar Khairy kerana tv litar di luar Dewan Tun Hussein Onn menyiarkan ucapan ketua wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil. Manakala tv litar yang satu lagi menyiarkan ucapan ketua puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin. Kenapa pengurusan PWTC begitu lalai tidak menyiarkan tv litar untuk ucapan Khairy? Adakah ketua pemuda itu disabotaj oleh pengurusan PWTC?

Apabila diberitahu kepada pihak pengurusan PWTC, barulah tv litar menyiarkan ucapan Khairy yang tinggal lima minit lagi. Kelalaian ini mendukacitakan para pemerhati pemuda yang datang dari jauh yang mahu melihat kehebatan ketua pemuda mereka berpidato.

Ramai pembahas dari negeri membangkitkan soal calon boleh menang. Kebanyakan pembahas negeri tidak memperkenalkan diri jadi amat sukar bagi kita menulis siapa yang berucap, dan ini tidak pula ditegur oleh pengerusi tetap. Ramai perwakilan berada di luar dewan dan mereka kurang berminat mendengar pembahas berucap. Pembahas pula banyak yang mengampu pucuk pimpinan yang menyebabkan mereka lebih suka bertemu dengan rakan-rakan di luar dewan.

Seperti kata wakil Pahang, ini adalah perhimpunan agung Umno bukannya membentangkan laporan tahunan di mana ramai pembahas negeri bukannya membahaskan isu sebaliknya membentangkan apa yang pemuda buat di negeri masing-masing. Sementara itu wakil Kelantan, Anuar Safian mencabar PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana sudah lama rakyat Kelantan menunggu hukum hudud.

Kebanyakan wakil negeri yang berbahas tidak pandai menyampaikan pidato. Mereka terlalu serius yang menyebabkan perwakilan bosan. Wakil Pahang lebih menyerlah dengan cara penyampaiannya yang bersahaja. Manakala wakil Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar tidak kurang hebat pidatonya yang mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan bermimpi di siang hari untuk menawan Putrajaya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Bandar Tun Razak berikrar akan membenamkan PKR pada pilihan raya umum akan datang. Banyak perkara yang diucap oleh Khairy tidak diulas oleh pembahas negeri kerana mungkin mereka mahu jadi calon jadi tidak perlu menegur pucuk pimpinan. Seperti kata wakil majlis tertinggi, Datuk Seri Shahidan Kassim, beliau sentiasa mengutamakan calon pemuda ketika beliau menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Perlis.

"Saya sudah pilih pemuda sebagai calon tetapi di saat-saat akhir ada orang guna cable, maka calon itu digugurkan," katanya yang bersetuju supaya jangan guna cable dalam pemilihan calon menang. 

Kesimpulan, tidak ada yang menarik dalam persidangan pemuda hari ini kerana mereka tidak serius membincangkan agenda bangsa. Sebab itu lebih banyak kerusi kosong dalam dewan kerana perwakilan lebih suka berlegar di luar dewan sedangkan ketika bertanding untuk menjadi perwakilan ke Kuala Lumpur mereka sanggup menghabiskan wang untuk menang. Tetapi bila datang ke persidangan di Kuala Lumpur, mereka tak masuk dewan. Inilah pemuda Umno di zaman Khairy. Mungkinkah yang berada di luar dewan itu para penyokong Datuk Mukhriz Mahathir dengan Datuk Seri Dr Khir Toyo?

No comments:

Post a Comment