VaultSafeUall

Monday 28 November 2011

MALAYSIAN MALAYSIA BERCANGGAH DENGAN WASATIYYAH


Konsep "Malaysian Malaysia" bercanggah dengan konsep watasiyyah yang diamalkan kerajaan BN selama ini.

Menurut Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar, "Malaysian  Malaysia" adalah konsep yang dangkal yang meminggirkan hakikat sejarah dan latar belakang politik negara ini dan mengenepikan asal usul identitinya yang berakarumbi dari sistem kesultanan Melayu.

"Sebab itulah saya menganggap Malaysian Malaysia sebagai idea yang tidak seimbang dan bertentangan dengan lunas keadilan," kata beliau ketika membentangkan kertas kerja di Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1Malaysia di PWTC hari ini. Seminar setengah hari itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata watasiyyah merupakan amalan kesederhanaan yang sudah 54 tahun menjadi pegangan kerajaan Malaysia.

"Cabaran yang dihadapi oleh wasatiyyah ialah dari ahli politik yang sanggup mengorbankan keadilan dan keseimbangan kerana mengejar undi dari kaum tertentu. Bagi mereka, kuasa politik mendahului segala-galanya asalkan matlamat menghalalkan cara," katanya.

Sehubungan dengan itu Dr Chandra meminta pentadbir dalam sektor awam dan pengurus dalam sektor swasta tidak bersifat pilih bulu ke atas kaum tertentu yang dianggap sebagai melanggar prinsip keseimbangan atau watasiyyah.

Beliau bersetuju bahawa rakyat Malaysia mendukung dan menagmalkan prinsip watasiyyah yang telah termaktub dalam gagasan 1Malaysia.

"Inilah kunci kejayaan negara kita. Inilah rahsia keamanan dan keharmonian kaum serta kestabilan masyarakat kita," katanya sambil mengakui bahawa tidak dapat dinafikan bahawa dalam soal perekonomian, golongan atasan memperolehi lebih banyak manfaat daripada pertumbuhan ekonomi jika dibandingkan dengan golongan bawahan.

Beliau menambah kerajaan cuba memperbaiki ketidakseimbangan ini melalui Pelan Tansformasi Ekonominya.

Akhir sekali beliau mengajak semua pihak - cendekiawan, tokoh agama, profesional, wartawan, ahli perniagaan, pentadbir dan pemimpin NGO memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran kepentingan keseimbangan dalam konteks masyarakat berbilang kaum.

No comments:

Post a Comment