VaultSafeUall

Sunday 31 July 2011

BILA SUDAH TIADA REZEKI

Bila sudah tidak ada rezeki, tak payah buat apa, tetap tak ada rezeki. Kalau Ku Li nak jadi PM, bukan sekarang. Pada tahun 1981 beliau ada peluang sudah jadi TPM. Tapi perwakilan UMNO memilih Musa Hitam jadi Timbalan Presiden UMNO yang melayakkan jawatan TPM.

Kalau perwakilan UMNO pilih Ku Li sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981 yang melayakkannya jadi TPM, pada tahun 2003 apabila Dr Mahathir Mohamad bersara dari politik, Ku Li sudah jadi PM. Tetapi bukan rezekinya jadi PM.

Pada tahun 1984, sekali lagi beliau mencabar Musa tetapi sekali lagi kalah dalam pertandingan timbalan presiden UMNO. Andainya beliau menewaskan Musa pada tahun 1984, beliaulah TPM.
  Pada tahun 1987, Ku Li mencabar Dr Matahir pula untuk jawatan Presiden UMNO. Beliau kalah tipis. Jika beliau menang sejak 24 April 1987 Ku Li sudah jadi PM Malaysia kelima. Tetapi bukan rezekinya jadi PM.

Bila UMNO diharamkan pada tahun 1988, Ku Li menyertai Semangat 46 apabila Dr Mahathir menyekat belaiu menyertai UMNO (baru). Pada tahun 1990 Ku Li memimpin Angkatan Perpaduan Ummah gabungan Semangat 46-PAS-DAP untuk menumbangkan BN pada pilihanraya umum yang diadakan pada tahun tersebut.

BN hampir tewas bila PBS keluar dari BN seminggu sebelum hari pembuangan undi. Ku Li yakin Angkatan Perpaduan Ummah berjaya menumbangkan BN. Tetapi sigah yang dipakai oleh Ku Li di majlis PBS menyelamatkan UMNO. UMNO menggunakan sentimen agama bahawa Ku Li pakai sigah yang ada salib Kristian. Isu ini berjaya menyelamatkan UMNO dan BN dari tumbang. Orang Melayu yang menyokong Angkatan Perpaduan Ummah berpaling tadah menyokong BN. ternyata propanganda BN berjaya sedangkan ketika Dr Mahathir merasmikan Pesta Kaamatan di Sabah salib yang ada pada sigah beliau lebih besar dari salib pada sigah Ku Li.

Sekali lagi Ku Li gagal jadi PM. Jika BN tumbang pada pilihanraya umum 1990, sudah 21 tahun (sehingga sekarang)Ku Li jadi PM Malaysi. Memang tiada rezeki Ku Li jadi PM. Bila namanya disebut bakal Ketua Pembangkang apabila Anwar didapati bersalah oleh mahkamah nanti, maka cita-cita Ku Li untuk jadi PM masih belum padam.

Beliau pernah bersama PAS dan DAP, maka Ku Li adalah calon terbaik untuk menggantikan Anwar. Soalnya adakah Ku Li bersedia untuk menjadi ketua pembangkang. Beliau akan pilih parti mana. Adakah Ku Li akan masuk PAS atau PKR?

Bagi saya BN tetap unggul dalam pilihanraya umum akan datang. Justru itu jika Ku Li menerima pelawaan pembangkang maka beliau tetap kecundang untuk jadi PM. Rakyat akan menghukum pemimpin yang tidak  konsisten seperti Ku Li. Sekejap dalam UMNO, sekejap dalam Semangat 46, sekejap kembali semula dalam UMNO dan keluar lagi (jika terima tawaran jadi ketua pembangkang). Oleh itu lupakanlah hasrat untuk menjadi PM kerana zaman anda sudah berlalu.


Begitu juga nasib Anwar Ibrahim yang sudah hampir jadi PM (berada di tapak TPM) tetapi terpelanting kerana memang tidak ada rezeki Anwar untuk jadi PM. Oleh itu kalau bukan rezeki kita, tak payahlah berusaha, merancang untuk jadi PM kerana Allah memilih orang istimewa sahaja untuk jadi PM.

No comments:

Post a Comment