VaultSafeUall

Wednesday 27 July 2011

PAS MAIN WAYANG

Tindakan PAS menolak penggunaan sistem biometrik seperti dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang menunjukkan pembangkang hanya berminat 'bermain wayang politik' dan perang psikologi bagi memenuhi agenda mereka.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tindakan parti pembangkang itu ibarat permainan catur dengan membuat gerakan satu persatu sebelum melakukan 'check mate' apabila mencapai matlamat mereka.

"Lepas kerajaan sebut benda ini (penggunaan sistem biometrik), dia (pembangkang) nak benda lain pula dan akhirnya tiada kesudahannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di sini pada Rabu.

Beliau mengulas keputusan Jawatankuasa PAS Pusat yang menolak penggunaan sistem biometrik dicadangkan SPR pada pilihan raya umum akan datang kerana mendakwa sistem itu tidak mampu menghalang seseorang individu mengundi lebih daripada sekali, selain gagal mengatasi beberapa kelemahan sedia ada.

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata tindakan pembangkang itu adalah pertarungan 'psywar' (perang psikologi) untuk memastikan kemenangan hanya pada mereka dan selepas mendapat apa yang dimahukan, barulah pada waktu itu sistem pilihan raya dianggap 'bersih'.

Penolakan terhadap sistem biometrik itu menunjukkan sikap pembangkang yang akan menolak apa sahaja cadangan atau sistem yang pada anggapan mereka tidak memberi kelebihan, katanya.

"Sebelum ini kita mendengar bagaimana pembangkang melakukan gerakan besar-besaran untuk menambah bilangan pengundi di satu-satu kawasan. Oleh kerana BN turut melakukan usaha yang sama, mereka (pembangkang) timbulkan pula perkara lain untuk cuba dimainkan (dijadikan isu)," katanya.

No comments:

Post a Comment